Wednesday, April 13, 2016
Dituduh Berlakon Digari, Ini Respon Rafizi
SHAH ALAM : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kecewa apabila situasi
ketika beliau diiringi ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Rabu lalu yang
tidak bergari namun hanya meletakkan tangan di belakang sambil dipegang
pegawai polis mengiringinya dipolitikkan.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, isu yang lebih besar
penyelewengan 1Malaysia Development Berhad, salah guna Akta Rahsia Rasmi
(OSA) untuk melindungi penyelewengan dan kelewatan pembayaran caruman
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) cuba ditenggelamkan oleh isu gari
itu.
“Malah ada yang memfitnah saya kononnya saya berlakon digari untuk meraih simpati rakyat.
“Saya yakin saya tidak perlu berlakon untuk meraih simpati rakyat kerana
sebahagian besar rakyat adalah bersama-sama saya selagi pentadbiran
Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) berterusan menekan rakyat,”
katanya.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua
pertuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia rasmi tanpa
kebenaran, dua minggu lalu.
Rafizi didawa ada dalam milikannya halaman 98 Laporan Pengauditan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kebenaran sah serta tidak
berhak menyimpannya dan kemudiannya mendedahkannya pada sidang media di
lobi Parlimen.
Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Rafizi berkata, ketika
perbincangan dengan kehadiran peguamnya, pegawai polis bertugas dari
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mahu beliau meletakkan tangan
di belakang dan akan dipegang oleh pegawai-pegawai polis tanpa digari.
“Saya memberi pendapat adalah lebih baik saya digari untuk mengelakkan
pegawai-pegawai polis yang mengendalikan saya dikecam oleh pihak Umno
dan pegawai tertinggi polis kerana ia pernah berlaku sebelum ini
sekiranya dilihat ada kelonggaran diberikan kepada saya.
“Peguam saya pula memaklumkan bahawa oleh kerana keputusan menggari itu
adalah budi bicara pegawai polis yang bertugas, beliau mengesyorkan
supaya saya tidak digari.
“Akhirnya kami bersetuju bahawa saya meletakkan tangan di belakang tanpa
digari mengikut arahan yang diberikan pegawai-pegawai yang
dipertanggungjawabkan mengendalikan saya,” katanya.
Beliau turut melahirkan simpati terhadap pegawai-pegawai polis yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes beliau selama ini.
“Kerana mereka menjadi serba salah apabila setiap tindakan mereka akan
mengundang kritikan. Jika mereka menggari saya, penyokong pembangkang
akan memarahi mereka. Jika mereka tidak menggari saya, besar kemungkinan
mereka terpaksa menjawab kepada pimpinan tertinggi polis menjelaskan
kenapa mereka tidak menggari.
“Akhirnya mereka cuba mencari jalan terbaik dengan mengarahkan saya
meletakkan tangan di belakang sambil dipegang oleh mereka yang pada
pandangan mereka merupakan budi bicara mereka yang adil kepada semua,”
katanya.
Rafizi juga mengakui dilayan secara profesional dan berhemah baik dari lokap hingga ke bilik soal siasat dan lokap mahkamah.
Dalam pada itu, Rafizi memberi amaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar agar tidak mengulangi apa-apa kenyataan yang memberi
gambaran beliau berbohong atau berlakon mengenai peristiwa gari itu.
“Jika beliau mengulanginya, maka saya akan rujuk perkara itu kepada
peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment