Wednesday, April 13, 2016

Pengamal Undang-Undang Saran Tak Perlu Batal Ceramah Dr. Zakir, Hanya Tukar Tajuk

SHAH ALAM : Forum tokoh penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang dijadual diadakan di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka tidak perlu dibatalkan, kata Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Datuk Prof. Mahamad Naser Disa.

Sebaliknya menurut beliau, sekiranya tajuk forum itu tidak sesuai, adalah lebih baik penganjur meminta untuk menukarkannya supaya sesuai dengan landskap kepelbagaian agama di negara ini.

Malah ujarnya, tindakan membatalkan forum itu juga dikira tidak menjaga sensitiviti orang Islam yang merupakan masyarakat majoriti negara ini.

"Jika benar-benar takut keselamatan tergugat cadangkan supaya penganjur menukar tajuk, tidak perlu gunakan tajuk  'Similarities Between Hinduism and Islam' tukar kepada tajuk seperti contoh 'Islam Adalah Rahmat Seluruh Alam' seperti yang diuar-uarkan oleh 'Penang Institute'.

"Mereka menengahkan kononnya maqasid syariah dengan menggunakan tajuk 'Islam Rahmat Seluruh Alam' sekarang kita boleh minta Dr Zakir Naik untuk bercakap tentang tajuk itu.

"Tidak perlu batalkan ceramah tersebut, kita perlu juga jaga sensitiviti orang Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Terdahulu, Dr Zakir Naik terus mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy menggelarnya sebagai ‘setan’.

Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, Ramasamy menyunting status itu dengan memadam perkataan ‘satan’.

Dalam kenyataan sama, Ramasamy mendakwa Dr Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Naser juga menyelar tindakan pihak tertentu yang membantah kehadiran Dr Zakir dan beliau menyarankan supaya pihak-pihak terbabit bersikap adil dan terbuka.

Naser berkata Ramasamy sebagai seorang yang sering melaungkan demokrasi dan hak kebebasan perlu menghormati kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.

"Pihak yang membantah itu ia sepatut bersikap adil dan bersikap terbuka kerana kita ini disebuah negara yang mereka katakan negara demokrasi sepatutnya tidak boleh menyekat itu hak kebebasan bersuara.

"Kita tahu Hindraf, MIC termasuk Ramasamy DAP di Penang itu semua ini jaguh-jaguh demokrasi dan hak kebebasan bersuara, tiba-tiba bersuara yang boleh menjejaskan mereka cepat-cepat mereka kaitkan dengan keganasan,"ujarnya.

Naser juga berkata pihak-pihak yang membangkang kehadiran Dr Zakir ini perlu mengormati perkara-perkara yang termaktub di dalam perlembagaan berkaitan dengan agama Islam.

"Seperti mana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Fasal 1 Perkara 3 (Islam adalah agama bagi persekutuan) dan  Fasal 1 Perkara 37 (mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada semua masa).

"Bila tidak ada kefahaman yang betul ini yang menyebabkan tidak ada perpaduan, tidak ada kesefahaman.

"Dr Zakir Naik ini akan menunjukkan di mana kesamaan unsur-unsur tertentu persamaan di antara agama ini dan ini adalah perkara baik, kenapa tidak mahu dengar? Kenapa kita hendak dengar perbezaan yang bertentangan sahaja?

"Cuba duduk dan kita dengan dan jadi seorang yang rasional ini yang akan membawa kita tahap pemikiran yang lebih tinggi dan membawa perpaduan,"ujarnya lagi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment