
Wednesday, April 06, 2016
Kerajaan Negeri Beri Insentif RM100,000 Kepada Khairul Idham Pawi

IPOH : Kerajaan Perak memberikan insentif RM100,000 kepada
Khairul Idham Pawi sebagai mengiktiraf kejayaannya selepas mencipta
sejarah menjadi pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam
kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, pada 3 April lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata insentif itu
diberikan kepada beliau sebagai pendorong untuk lebih berjaya sekali gus
menjadi idola dan contoh kepada anak-anak muda yang lain.
Beliau juga ingin menjelaskan sebelum ini, pihak kerajaan negeri
telah meluluskan sebanyak RM60,000 kepada beliau sebagai pembiayaan
beliau ketika berada di negara berkenaan.
“Sebelum beliau pergi, beliau ada membuat permohonan melalui Abdullah
Fauzi (Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah) dan perkara itu
disampaikan sendiri kepada saya oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya
(Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri).
“Kita telah meluluskan sebanyak RM60,000 sewaktu itu, namun kebetulan
ketika itu beliau sudah pun bertolak ke Argentina dan wang yang
diluluskan itu telah masuk ke Pusat Khidmat Kampung Gajah. Dengan
kejayaan beliau ini kita tambah lagi sebanyak RM40,000 sebagai
pengiktirafan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan
negeri di sini hari ini.
Khairul, yang mewakili pasukan Honda Team Asia mencatat masa 41 minit
35.452 saat dalam perlumbaan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo,
sekali gus menyaksikannya memungut 25 mata untuk melonjak pada kedudukan
keempat dari tempat ke-22 selepas dua pusingan.
Sehubungan itu, Zambry dengan tegas berkata isu seperti wang
pembiayaan tidak perlu diperbesar-besarkan seolah-olah kerajaan negeri
hanya membantu Khairul Idham selepas beliau berjaya.
“Adalah tidak wajar pihak-pihak di luar sana untuk membuat penilaian seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau telah meminta semua exco kerajaan negeri untuk
melihat dan mengkaji daerah atau kawasan yang sesuai untuk dijadikan
litar sukan permotoran selepas mendapat sambutan yang baik daripada
golongan belia atas kejayaan Khairul Idham.
“Komen yang diterima di Facebook saya mengenai kejayaan Khairul Idham
begitu baik sekali, ramai anak-anak muda yang inginkan litar sendiri di
kawasan masing-masing. Walaubagaimanapun, idea ini kita akan
perincikan.
“Saya telah meminta kepada exco yang bertanggungjawab dan exco yang
lain, untuk lihat kemungkinan ada atau tidak daerah lain yang boleh kita
wujudkan litar seperti ini.
“Kita juga ada satu kawasan litar yang akan dibangunkan di Simpang
Pulai. Dalam masa yang sama, dengan kewujudan kawasan litar ini dapat
mengurangkan perlumbaan haram di kalangan anak-anak muda,” katanya.
Khairul Idham memulakan kerjaya sebagai pelumba pada 2012 dengan
menyertai perlumbaan ‘Honda One Make Series’ sebelum memenangi juara
kategori Wira Cub Prix pada tahun 2013, diikuti kejuaraan pada Asia
Dream Cup setahun kemudian.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment