Wednesday, April 06, 2016

PAS Kritik Tindakan Pembangkang, Tun M Kaitkan Istana Untuk Jatuhkan PM

KUALA LUMPUR : Langkah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melibatkan pihak Istana dalam gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak disenangi PAS.

Menurut Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas pemimpin Umno itu tidak sepatutnya mengheret pihak istana dalam isu ini.

"Kita tidak mahu menarik pihak lain yang tak perlu tarik terhadap sebarang perubahan kita ada parti politik, NGO dan pihak lain," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Mahathir pada 27 Mac lalu berkata beliau mengharapkan pihak Istana untuk mendengar keluhan rakyat dan campur tangan dalam menggesa Najib supaya meletakkan jawatan.

Perkara itu dibangkitkan Mahathir dalam sidang media pada Kongres Rakyat yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Abdul Hadi, usaha untuk menarik pihak istana tidak wajar dilakukan demi menjatuhkan seseorang pemimpin.

PAS sebelum ini tidak bersetuju dengan langkah Mahathir untuk menjatuhkan Najib selaku Perdana Menteri dan menunggu Pilihanraya Umum akan datang untuk berbuat demikian.

"Kita mahu sebarang perubahan mestilah melalui proses demokrasi yang betul dan adil bukan melalui tangkap muat begitu sahaja.

"Proses demokrasi ialah melalui sama ada undi kepercayaan di Parlimen atau PRU (14)," katanya.

Mahathir sebelum ini melancarkan gerakan Selamatkan Malaysia menuntut Najib supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana didakwa telah membuat beberapa penyelewengan sehingga menyusahkan rakyat.

Gerakan yang dipimpin Mahathir itu dibuat dengan kerjasama pembangkang antaranya Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dan beberapa aktivis.

Selain Mahathir, gerakan itu turut menarik minat kepimpinan Umno yang lain antaranya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Gerakan itu turut menganjurkan sesi sejuta tandatangan Deklarasi Rakyat yang akan dibawa ke istana bagi menuntut Najib meletakkan jawatan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment