Wednesday, April 06, 2016

Pembangkang Masih Tidak Sedar Mereka Dianggap ‘Lipas’ Di Sarawak?

EDITOR MENULIS...
5 APRIL 2016
adenan satem
Sebagaimana maklum, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 bakal berlangsung tidak lama lagi. Pembubaran Dewan Undangan Negeri itu dijadualkan berlaku pada 11 April ini seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) seperti biasa akan mempertahankan kemenangan pada PRN Sarawak tersebut. Pencabarnya sudah tentulah Pakatan Harapan yang diketuai DAP. PAS pun khabarnya sudah mula masuk berkempen di sana walaupun dikatakan ‘hambar’.

Menurut maklumat dari Bumi Kenyalang itu, antara isu yang cuba dibawa masuk pihak pembangkang ke Sarawak pada PRN kali ini adalah isu ‘UMNO Sarawak’. Mereka menyebarkan cerita kononnya, Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof cuba menubuhkan UMNO di negeri itu.

Saya tidak pasti dari mana puak pembangkang dapat ilham untuk mencipta fitnah tersebut. Mungkin dari ‘penjara’, mungkin juga ‘diluar penjara’. Namun itulah isu yang sedang digembar-gemburkan di sana sekarang.

Entah apa kebodohan melampau yang melanda pembangkang untuk membawa provokasi tidak berasas begitu. Mahu mencetus kebencian rakyat Sarawak terhadap BN? Tidakkah mereka tahu bahawa propaganda tersebut pernah gagal teruk ketika cuba dimainkan dulu?

Untuk pengetahuan rakyat Sarawak, sekiranya dijemput dan dicadangkan sekalipun oleh BN Negeri atau rakyat negeri Sarawak, saya yakin UMNO tidak akan sesekali menubuhkan cawangan UMNO di sana. Itu saya yakin.

Kenapa? Kerana UMNO memang terkenal tradisinya amat menghormati pendirian rakyat Sarawak yang terdiri dari lebih 200 masyarakat berbilang etnik di sana. Malah UMNO pun tahu bahawa bangsa Melayu bukan majoriti di Sarawak dan bukan menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri sejak merdeka lagi.

Saya juga yakin UMNO tahu tentang konsep perkongsian kuasa dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada parti-parti yang membentuk BN Sarawak untuk menentukan apa yang terbaik bagi anak-anak Bumi Kenyalang. Sejak dari 1963 lagi, itulah tradisi dan amalannya.

Apakah motif pihak pembangkang menggembar-gemburkan konon UMNO akan masuk ke Sarawak? Pada pandangan saya, mungkin mereka cuba mencetus persepsi konon rakyat Sarawak menolak UMNO? Itu dalam kepala otak mereka?

Saya yakin, rakyat Sarawak tidak bodoh seperti puak pembangkang yang mencetus propaganda seperti itu. Corak propaganda yang berunsur provokatif seperti itu tidak akan dapat menembusi minda rakyat di negeri tersebut yang terkenal dengan pendirian menolak politik kotor.

Lebih-lebih lagi taktik berkenaan yang selalu dimainkan di semenanjung dan cuba diimport masuk ke sana, lagilah ia tidak laku di mata rakyat Sarawak. Mereka di sana cukup menjaga keharmonian sesama mereka dan menolak provokasi yang memecah-belahkan.

Beberapa rakan saya di Sarawak yang terdiri dari golongan ‘atas pagar’ pernah memberitahu bahawa majoriti mereka di sana menolak pembangkang kerana cuba mencemar keharmonian kaum, agama dan adat resam masyarakat Bumi Kenyalang. Kerana itulah pembangkang tidak pernah menang.
iban4
Dari pengalaman saya, budaya politik Sarawak adalah sangat berbeza dengan budaya politik di Semenanjung. Mereka tidak agresif berpolitik, menolak politik melampau, tidak suka provokasi dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba mencemar cara hidup masyarakat Sarawak.

Jadi pesan saya pada pembangkang, tidak perlulah bawa perangai buruk di Semenanjung ke Sarawak. Janganlah malukan orang Semenanjung di mata orang Sarawak. Jangan ajar atau cemarkan masyarakat Sarawak dengan budaya negatif yang pembangkang amalkan di sini.

Mungkin kerana itulah ramai pemimpin-pemimpin pembangkang yang disekat masuk oleh Jabatan Imigresen di negeri tersebut. Jika pemimpin BN Sarawak tidak sekat, mungkin mereka-mereka itu berpotensi mengajar rakyat di sana untuk berkelakuan biadap, percaya pada pembohongan dan menolak kebenaran.

Saya puji Sarawak kerana masih mampu bertahan dan tidak mudah terpengaruh dengan perangai buruk pihak pembangkang, khususnya dari Semenanjung. Selamat berkempen dan berjuang untuk mempertahankan Bumi Kenyalang dari dirosakkan Pakatan Harapan!!

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment