
Wednesday, April 13, 2016
P/Raya Sarawak: Adenan Umum Lima Lagi Calon Langsung BN

KUCHING : Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari
ini mengumumkan nama lima lagi calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi
pilihan raya negeri ke-11 akan datang, menjadikan 74 calon parti
gabungan itu yang diumumkan setakat ini.
Empat daripada mereka adalah daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP),
sebuah parti mesra BN serpihan daripada SUPP, manakala seorang lagi
adalah bekas anggota SPDP.
Mendahului senarai calon UPP ialah presidennya, Datuk Seri Wong Soon
Koh, yang akan mempertahankan kerusi Bawang Assan. Wong ialah Menteri
Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan Menteri Kewangan Kedua.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King akan
bertanding bagi kerusi Dudong, yang disandang Yap Hoi Liong daripada
DAP, manakala Ranum Mina akan mempertahankan kerusi Opar.
Muka baharu, ahli perniagaan Datuk Hii King Chiong, akan bertanding
di kawasan Pujut, yang sekarang disandang anggota Bebas, Fong Pau Teck,
bekas anggota DAP.
Pada sidang akhbar di pejabatnya, Adenan juga membaca nama penyandang
Dr Johnical Rayong dan Dr Jerip Susil, yang diumumkan sebelum ini
sebagai calon yang masing-masing akan mempertahankan kerusi Engkilili
dan Mambong.
Bekas anggota SPDP yang dinamakan hari ini sebagai calon langsung BN
ialah ahli perniagaan Datuk Pau Chiong Ung iaitu bagi merampas kembali
kerusi Tanjung Batu daripada DAP. Adenan berkata ketujuh-tujuh mereka telah meninggalkan parti
masing-masing bagi mematuhi perlembagaan BN dari segi undang-undang dan
teknikal.
“Mereka patuh, lagi pun, mereka semua akan menjadi calon BN. Mereka
bebas menyertai mana-mana parti selepas menang nanti, tetapi perkara
paling penting ialah mereka perlu setia kepada BN,” katanya.
Mengenai kerusi Pelawan dan Meradong, Adenan berkata calonnya akan dimuktamadkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
“Ada beberapa perkara yang perlu kami bincangkan dahulu sebelum
mencapai konsensus,” katanya serta menambah bahawa SUPP dan UPP menuntut
kerusi berkenaan.
Mengenai calon daripada SPDP dan parti serpihannya, Parti Tenaga
Rakyat Sarawak (TERAS), Adenan berkata ia juga akan dimuktamadkan
sebelum hari penamaan calon.
“Kami berharap masalah antara mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Adenan juga memberi nasihat kepada parti komponen BN dan semua calon BN.
“Kini, setelah kita selesaikan (perkara) berkaitan sebahagian besar
calon, saya berharap kita akan berhenti daripada menghala meriam kepada
satu sama lain, melainkan kepada pembangkang.
“Saya berharap tiada lagi pertikaian dalaman. Semua senjata kita kini perlu dihalakan kepada pembangkang sahaja,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment