
Wednesday, April 13, 2016
PTPTN Nafi Ambil Duit Peminjam Daripada Tabung Haji, Pembiayaan Bukan Riba’ – Shamsul

KUALA LUMPUR : Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Hj Nasarah hari ini
menafikan pihaknya telah mengambil duit RM30,000 daripada akaun Tabung
Haji peminjam PTPTN seperti yang disebarkan di dalam laman sosial.
Menurut beliau sebagaimana sedia maklum, semua transaksi pengeluaran
mahupun pindahan wang yang dibuat bagi mana-mana akaun, tidak kira sama
ada akaun bank atau akaun Tabung Haji adalah atas arahan dan kebenaran
pemegang akaun itu sendiri.
“Bayaran balik secara terus melalui simpanan dalam akaun Tabung Haji
bukanlah merupakan saluran bayaran balik yang telah disediakan oleh
PTPTN. Saluran bayaran balik pinjaman PTPTN adalah sama ada melalui
kaunter PTPTN di seluruh negara, kaunter ejen (Bank Islam, CIMB Bank,
BSN Bank Rakyat, Pos Malaysia), potongan gaji atau pengeluaran Akaun II
KWSP.
“Peminjam juga boleh membuat bayaran secara online yang mana
transaksi dilakukan oleh peminjam itu sendiri melalui MyPay Mobile Web
PTPTN, Electronic financial solution (e-Fes) di portal rasmi PTPTN; atau
Perbankan internet menerusi Bank Islam, CIMB Bank, Bank Rakyat,
Maybank, Public Bank, RHB Bank, Pos Online, Affin Bank, Ambank, Agro
Bank dan BSN,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, di
sini, hari ini.
Sehubungan itu, tegasnya PTPTN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk
membuat tindakan mengambil duit simpanan peminjam mahupun mengakses
akaun Tabung Haji tersebut sebaliknya berita terbabit adalah khabar
angin atau suatu fitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi
memburukkan imej PTPTN.
“Justeru, orang awam diminta agar berhati-hati dan tidak terpedaya
dengan khabar angin yang telah disebarkan. Mahasiswi berkenaan juga
disarankan untuk membuat laporan polis atas kehilangan duit simpanan di
dalam akaun Tabung Haji beliau.”
Maklumat berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN boleh diperolehi
melalui talian Khidmat Pelanggan 03 – 2080 4455, laman sesawang
(website) dan media sosial rasmi PTPTN.
Pada masa yang sama Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong
menegaskan PTPTN bukan pembiayaan berunsur riba sebagaimana yang
disebarkan melalui laman sosial baru-baru ini.
“PTPTN adalah pembiayaan pendidikan yang patuh syariah sebagaimana
yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal
Ugama Islam. Ujrah atau upah 1 peratus setahun atas kadar rata adalah
amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan serta diperlukan
bagi menampung kos operasi PTPTN termasuk kos bagi pengurusan dan
pentadbiran setiap akaun peminjam.
“Sebagai contoh, sekiranya pembiayaan adalah melibatkan RM20,000
dalam tempoh 10 tahun, maka upah atau Ujrah dikenakan sebulan hanyalah
RM16.67 dan setahun sebanyak RM200.00 sahaja. Jelas, Upah atau ujrah ini
adalah amat minimum dan tiada mana-mana institusi kewangan lain yang
mengenakan caj serendah ini.
“Selain itu, peminjam juga tidak dikenakan sebarang kenaan Ujrah atau
Upah sekiranya membuat bayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas
tamat pengajian. Bagi meringankan lagi bebanan peminjam PTPTN,
pelaksanaan pengecualian bayaran balik pembiayaan PTPTN turut
disediakan.
“Peminjam PTPTN diberikan kemudahan untuk tidak perlu membayar balik
walau sesenpun kepada PTPTN dengan syarat peminjam perlu fokus, belajar
bersungguh-sungguh di institusi pengajian tinggi dan mendapat Ijazah
Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama,” katanya.
Jelas beliau, semenjak tahun 2003, PTPTN tidak lagi menerima geran
daripada kerajaan dan telah mendapatkan dana atau meminjam daripada
institusi kewangan seperti KWSP, CIMB, Ambank, RHB dan Maybank melalui
pinjaman jangka panjang dan penerbitan Sukuk untuk tujuan pemberian
pinjaman kepada peminjam PTPTN.
“PTPTN telah dikenakan faedah sehingga 5% atas jumlah dana yang telah
diperolehi. Peminjam PTPTN pula tidak dikenakan sebarang bayaran
mahupun kos bagi menampung faedah tersebut. Dalam erti kata lain faedah
pinjaman tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN dan bukan
peminjam.
“Walau bagaimanapun, masih terdapat peminjam yang tidak mengambil
peluang untuk bertukar daripada pembiayaan konvensional kepada
pembiayaan Ujrah. Oleh itu, setiap peminjam perlu bijak mengambil
peluang bertukar kepada pembiayaan Ujrah 1 peratus kerana ianya
memberikan penjimatan sehingga hampir separuh kos pinjaman sebelum ini.
Semua pinjaman konvensional yang belum membuat pertukaran kepada
pembiayaan Ujrah adalah layak membuat pertukaran termasuk peminjam yang
telah dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, di Malaysia sekalipun yuran pengajian dikenakan
kepada pelajar tetapi Kerajaan telah memberikan subsidi sehingga 95% dan
sebagai contoh, kos program pengajian perubatan di IPT awam sebelum
subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya perlu membayar
sebanyak RM9,000 sahaja.
“Negara maju di dunia juga telah mengenakan yuran pengajian di IPT
awam antaranya United Kingdom, Ireland dan banyak lagi. Falsafah di
sebalik pembayaran yuran pengajian sebenarnya adalah sebagai tanda
penghargaan kepada nilai keilmuan dan meletakkan nilai pengajian tinggi
pada tempatnya.
“Kesedaran dan budaya perkongsian kos pengajian antara kerajaan dan
masyarakat khususnya mereka yang mendapat kemudahan pembiayaan perlulah
difahami bagi mengubah persepsi daripada bebanan kepada perkongsian
tanggungjawab,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment