Wednesday, April 06, 2016

Selepas Tinggalkan SINAR FM... Raja Azura Kini Berniaga Burger

Sebaik saja Raja Azura mengumumkan keputusannya menamatkan karier sebagai penyampai radio di Sinar FM, Raja Azura, bersiap sedia menceburi dunia usahawan mengendalikan restoran francais Burgerbyte di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor, hujung Mac ini.

Pengacara program Kilauan Emas Otai ini, mengakui sudah lama berhajat bergelar usahawan namun terpaksa ditunda disebabkan kerjayanya sebagai penyampai.

Burgerbyte, jenama restoran tempatan yang cukup membanggakan kerana dalam tempoh kurang dua tahun telah berjaya membuka 13 cawangan di mana operasi pertamanya di Sentul sebelum memperluaskan empayar di antaranya Senawang, Damansara Perdana, Sri Iskandar, Perak, Bandar Baru Bangi, Semenyih.

Hasrat mantan penyampai radio Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 43, bagaikan mengikuti jejak penyampai radio HotFM, Fara Fauzana yang sebelum ini mengambil keputusan meninggalkan stesen radio ini seterusnya sebagai hos TV, setelah sepuluh tahun mengabadikan diri.

Bagaimanapun wanita yang lebih mesra disapa Kak Engku itu mengakui, sehingga kini kepedihan tidak lagi mengendalikan segmen Sinar Pagi bersama Salih dan Krill masih berbekas.

Katanya, ibarat seperti ditinggalkan suami, begitulah kesan apabila kontraknya dengan stesen radio itu tidak lagi disambung dan digantikan penyampai baharu yang terdiri daripada kumpulan Sepahtu.

“Bukan senang untuk melupakan kerjaya di Sinar FM, begitu juga saya. Selama sepuluh tahun bersama, banyak pahit manis telah kami jalani.

“Sebelum ini, kerjaya di stesen radio tersebut merupakan segala-galanya. Saya beri apa yang saya ada untuk membangunkan stesen radio tersebut.

“Boleh saya katakan, saya hidup untuk menghiburkan pendengar yang setiap pagi setia mendengar celoteh kami bertiga. Apabila tidak lagi bersama, memang sukar untuk saya terima kenyataan. Semua akan kembali normal, mungkin untuk saya ia belum sembuh lagi,” katanya.

Tambah Raja Azura lagi, dia kini sedang memokus dalam bidang pengacaraan program Kilauan Emas Otai dan lebihkan penampilan di kaca TV.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya dipertanggungjawabkan menggalas tugas sebagai pengacara konsert mingguan.

“Pertandingan dalam musim kali ini lebih sengit kerana kelima-lima juara musim terdahulu akan bertarung sesama sendiri, sementara beberapa bekas peserta lima musim sebelum ini turut diberi peluang untuk bertanding,” tambahnya.

Menyentuh usaha untuk membuka sebuah cawangan restoran francais Burgerbyte di Seksyen 13 Shah Alam, Raja Azura berkata: “Memang sudah lama hajat tersebut terpaksa ditunda disebabkan kerjaya saya sebagai penyampai.

“Menariknya di restoran itu nanti, selain menu sedia ada, akan ada juga menu masakan saya sendiri yang tidak ada di cawangan Burgerbyte di tempat lain.” 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment