
Monday, March 21, 2016
Anggota UMNO Akar Umbi Perlu Fokus Kukuhkan Parti Hadapi PRU14

KUALA NERANG : Anggota dan kepimpinan UMNO di peringkat akar
umbi perlu memberi fokus kepada pengukuhan parti bagi menghadapi Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata
mereka perlu memberi keutamaan kepada parti dan bukannya kepada individu
tertentu yang mempunyai agenda peribadi.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata kepimpinan di peringkat
akar umbi juga perlu mengatur pelbagai program pengukuhan bagi
menyatupadukan anggotanya dan memberi sokongan padu kepada parti.
“Saya yakin 21,300 cawangan UMNO di seluruh negeri memberi sokongan
kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, bagi menjadikan parti lebih kuat.
“Segelintir ahli dan kepimpinan UMNO yang teragak-agak (dengan
kepimpinan sedia ada) agar kembali menyokong parti,” katanya mengulas
mengenai surat terbuka oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad kepada ketua cawangan UMNO baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian
Serentak Mesyuarat Agung UMNO Cawangan-cawangan Bahagian Padang Terap di
sini, malam tadi.
Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah
berkata walaupun Dr Mahathir berasal dari Kedah, seluruh anggota UMNO
tetap menyokong kepimpinan Najib.
“Yang penting solidariti UMNO kepada Najib dan kita menolak Deklarasi
Mahathir bersama parti DAP. UMNO Kedah hanya sokong parti dan
kepimpinan Najib,” katanya.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap bersama kepimpinan
UMNO Bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita serta jawatankuasa UMNO
Cawangan turut melafazkan ikrar taat setia dan sokongan tidak berbelah
bahagi kepada presiden parti.
Dalam ikrar tersebut, lebih 200 anggota dan kepimpinan akar umbi
turut menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang disertai DAP,
Parti Amanah Negara dan PKR pada 4 Mac lepas.
Mereka juga mahu MT UMNO memecat anggota UMNO yang terlibat dalam
deklarasi tersebut dengan segera dan turut berikrar untuk berkerja keras
bagi memastikan UMNO menang pada PRU14.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment