
Monday, March 21, 2016
2,114 Permohonan Skim Rumah Pertamaku Diluluskan Sejak 2013 Hingga Januari 2016

KUALA LUMPUR : Sebanyak 2,114 permohonan di bawah Skim Rumah
Pertamaku diluluskan melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM431 juta
sejak tahun 2013 hingga Januari lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata berdasarkan maklumat Bank Negara Malaysia, sejak 2013
hingga akhir Februari tahun ini, 876 permohonan di bawah Skim Perumahan
Belia diluluskan Bank Simpanan Nasional melibatkan jumlah pinjaman
RM215.5 juta.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan keperluan
perumahan bagi setiap seisi rumah di negara ini terutama belia dan
golongan berpendapatan rendah dan sederhana selaras dengan matlamat
meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Meskipun ekonomi global tidak menentu ekoran kejatuhan harga minyak
mentah dan kemerosotan nilai ringgit, kerajaan akan tetap membina rumah
mampu milik untuk rakyat terutama golongan belia,” katanya pada sesi
soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ir Shaharuddin Ismail
(BN-Kangar) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah golongan
belia yang telah memiliki rumah sendiri berdasarkan Skim Rumah
Pertamaku.
Beliau juga ingin tahu sama ada terdapat sebarang usaha dalam
mendukung hasrat kerajaan iaitu 1Keluarga 1Rumah dengan mengkaji semula
syarat kelayakan pembelian rumah pertama bagi membantu golongan muda
yang berpendapatan RM2,500 ke bawah.
Najib berkata kerajaan komited untuk mencapai hasrat 1Keluarga 1Rumah
dengan melaksanakan pelbagai inisiatif iaitu menambah bilangan rumah
mampu milik melalui pelbagai projek seperti Projek Perumahan Rakyat
(PPR), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), Perumahan
Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Mesra Rakyat, Rumah Idaman Rakyat
dan Rumah Aspirasi Rakyat.
Katanya dalam Bajet 2016 juga, RM1.6 bilion diperuntukkan untuk rumah
mampu milik antaranya melibatkan pembinaan 175,000 rumah Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mesra Rakyat (10,000 unit), PPA1M
(100,000 unit) dan PPR (22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit teres).
“Melalui pelbagai inisiatif yang diwujudkan di bawah Skim Rumah
Pertamaku seperti pengecualian duti setem, deposit, had umur, paras
harga rumah dan jumlah gaji, diyakini boleh membantu golongan belia
terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana memenuhi impian mereka
memiliki rumah,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang)
mengenai usaha kerajaan mengawal harga rumah, Najib berkata kerajaan
sentiasa menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan
rumah mampu milik supaya penawaran rumah tersebut sentiasa mencukupi.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata kerjasama daripada
kerajaan negeri juga penting sebagai inisiatif tambahan bagi mengawal
harga rumah.
Katanya inisiatif kerajaan negeri menyediakan tanah pada premium yang
rendah dapat membantu lebih banyak rumah mampu milik dibina di seluruh
negara.
“Kebetulan beberapa hari lalu saya lancarkan program dengan kerajaan
negeri Pahang, yang rumah dibina pihak swasta di atas tanah kerajaan
negeri dengan premium yang begitu rendah dijual dengan harga RM175,000
sedangkan harga pasaran RM300,000.
“Ini adalah contoh kerajaan negeri bekerjasama dalam membantu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment