Wednesday, March 16, 2016
Cadangan Buka Pusat Sehenti Ibu Tunggal Di Semua UTC
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) merancang mewujudkan pusat sehenti bagi ibu tunggal
di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) mulai Jun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata langkah itu
merupakan salah satu inisiatif bagi memudahkan akses kepada ibu tunggal
terutama yang ingin mendaftar serta mendapat maklumat mengenai
perkhidmatan berkaitan untuk golongan tersebut.
Menurutnya cadangan pusat sehenti itu dengan kerjasama badan bukan
kerajaan (NGO) ibu tunggal antara lain menawarkan khidmat soal ekonomi,
kaunseling dan guaman kepada yang memerlukan di kawasan bandar dan luar
bandar.
Mengikut rekod semasa, sejumlah 83,775 ibu tunggal sudah berdaftar
dengan Jabatan Pembangunan Wanita, katanya kepada pemberita selepas
merasmikan program Siri Jelajah Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal
Zon Selatan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah yang berdaftar dengan jabatan itu masih
kecil berbanding 235,240 ibu tunggal daripada 13.9 juta wanita di
Malaysia yang dibanci pada tahun 2010.
Justeru, beliau meminta semua Persatuan Ibu Tunggal dan pihak
berkepentingan supaya lebih fokus dalam membantu memastikan ibu tunggal
tersenarai dalam pangkalan data jabatan itu.
Sementara itu, mengenai Siri Jelajah Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu
Tunggal Zon Selatan, Azizah berkata ia merupakan siri kelima selepas
Sarawak, Kedah, Terengganu dan Selangor yang akan kemudian diteruskan ke
Pahang serta Sabah, akhir bulan ini.
Katanya segala cadangan, input dan maklum balas daripada sesi dialog
bersama peserta pada siri jelajah itu akan dikumpul dan diteliti sebelum
dikemukakan kepada pasukan petugas Pelan Tindakan Pemerksaan Ibu
Tunggal 2015-2020.
Pelan berkenaan merangkumi 18 langkah strategik berasaskan tiga teras
utama iaitu memperkasa ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta
meningkatkan penyelidikan dan penyelarasan pembangunan golongan ibu
tunggal di Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment