Monday, March 21, 2016
CUEPACS Minta Anggota Tidak Terlibat Dalam "Deklarasi Mahathir"
JOHOR BAHARU : Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam
perhimpunan ‘Deklarasi Mahathir’ yang dijangka diadakan di Shah Alam,
Selangor pada 27 Mac ini.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh
kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya
tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.
“Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu
untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan
ada dalam kalangan mereka terlibat sama.
“Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti
politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya
kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu
seperti menjatuhkan kerajaan,” katanya selepas menghadiri taklimat isu
semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini
Rabu.
Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah
untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil,
sekali gus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut
terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko
dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment