Thursday, March 10, 2016
Deklarasi Mahathir : UMNO Tetap Tenang - Annuar Musa
KUALA LUMPUR : Umno tetap tenang dan tidak akan terburu-buru mengambil
tindakan terhadap anggota parti itu yang terbabit dalam "Deklarasi
Mahathir" baru-baru ini, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar
Musa.
Bagaimanapun, beliau berkata, parti itu tidak memandang remeh isu itu
dan akan mengambil kira segala aspek termasuk pandangan akar umbi
sebelum bertindak terhadap ahlinya yang jelas bersekongkol dengan pihak
pembangkang itu.
"Lagipun kita ada pelbagai biro dan jawatankuasa di dalam parti untuk menilai apa yang telah berlaku.
"Umno tidak panik. Kita akan tenang tapi ambil serius serta tidak pandang remeh apa yang berlaku.
"Pada masa yang sama, disiplin dan ketegasan itu sentiasa ada dalam
parti. Biarlah rakyat menilai apa yang telah berlaku," katanya ketika
menjadi tetamu program 'Soal Jawab' di TV3, Sri Pentas pada Rabu.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh mengulas mengenai tindakan
mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas
mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP
dan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam
memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak
sebagai perdana menteri.
Deklarasi itu turut ditandatangani bekas timbalan perdana menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun
Dr Mahathir dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.
Annuar berkata, apa sahaja isu yang dibangkitkan termasuk usaha menjatuhkan kerajaan, perlu ditangani dengan bijak.
"Walaupun apa jua masalah yang timbul, kita jangan tinggalkan dan lupa
amanah yang diberikan rakyat. Lihatlah masalah rakyat, negara, masalah
dalam dan juga masalah dari luar.
"Pada masa yang sama, harus diiingati, Perdana Menteri Malaysia tidak
boleh diturunkan atau dijatuhkan dengan deklarasi atau kempen tersebut.
"Pembangkang boleh wujudkan pelbagai isu tetapi kita sebagai kerajaan
yang memerintah, perlu mencari jalan penyelesaian, kita ada masa dua
tahun, janganlah semua hendak lepaskan kerja, utamakanlah kepentingan
rakyat," katanya.
Annuar berkata, rakyat perlu melihat kempen deklarasi itu secara bijak
dan pada masa yang sama menilai siapa sebenarnya dalang dan apa tujuan
ia diadakan.
"Ada tiga kategori orang menonton wayang. Yang pertama, mereka akan terikut-ikut jalan cerita dan terbawa-bawa (ke luar).
"Kedua, ada yang melihat tapi dapat kawal emosi.
"Yang ketiga, akan berfikir siapa pengarah, pelakon dan sebagainya.
"Jadi sebagai orang lama dalam politik yang sudah melihat beberapa
politik dalam negara, saya melihat kempen deklarasi ini dalam konteks
ketiga.
"Ini kerana Tun Mahathir seorang strategist. Jadi kena lihat beberapa langkah ke hadapan.
"Harus diingati, beliau pandai menggunakan keupayaan orang lain untuk memenuhi matlamatnya," kata Annuar.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment