
Wednesday, March 09, 2016
Dr. Mahathir Lemah, Perlukan Pakatan Pembangkang – Wan Azizah

Pakatan pembangkang menafikan dakwaan sesetengah
pihak bahawa mereka adalah lemah serta hanya menumpang pengaruh bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Ketuanya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail menegaskan
bahawa Dr. Mahathirlah yang sebenarnya memerlukan bantuan pihak
pembangkang dalam usahanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
“Dakwaan pembangkang tidak kuat sehingga memerlukan Dr. Mahathir
adalah tidak benar. Sebaliknya beliau yang tidak kuat dan memerlukan
kami (pembangkang),” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa pakatan pembangkang memerlukan sokongan serta pengaruh daripada Dr. Mahathir.
Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, pakatan pembangkang akhirnya
mengakui bahawa pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi
agenda utama yang akan dibawa bersama-sama reformasi lain yang
terkandung di dalam pakatan antara Dr. Mahathir dan pembangkang.
Pendirian itu dibuat hanya beberapa hari selepas pakatan itu duduk
semeja dengan Dr. Mahathir dan menandatangani satu ‘deklarasi’ yang
disifatkan sebagai merentasi batasan politik dan tidak mewakili
mana-mana parti.
Menurut Wan Azizah, pengakuan Dr. Mahathir sebagaimana terkandung
dalam ‘deklarasi’ itu tidak mengubah hala tuju pakatan pembangkang
terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi
undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial.
“Pengakuan Dr. Mahathir itu adalah penerimaan secara tidak langsung
bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Anwar yang
dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada
pentadbiran Perdana Menteri.
“Oleh yang demikian, pakatan pembangkang pada hari ini menetapkan
bahawa agenda pembebasan Anwar menjadi agenda utama yang akan dibawa
bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan
Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad berkata, Dr.
Mahathir tidak menerima sokongan yang banyak dalam kalangan Ahli
Parlimen ketika ini untuk menunaikan hasratnya menumbangkan Najib.
“Berapa banyak Ahli Parlimen beliau ada? Kami ada satu pakatan,” ujar beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment