Monday, March 21, 2016
Guan Eng Bohong... - Rahman Dahlan
Alasan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mendakwa tanah di Taman Manggis
di George Town, tidak sesuai dibangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR)
kerana keluasannya kurang 0.8 hektar adalah satu pembohongan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Abdul Rahman Dahlan mendakwa alasan Ketua Menteri itu dimaklumkan
pegawainya di kementerian, setelah dipersoalkan mengapa tanah berkenaan
dijual kepada swasta dan tidak dibangunkan PPR.
Beliau berkata fasa pertama PPR itu telah siap dibina serta diduduki dan
pembinaan seterusnya hanya melibatkan blok tambahan kepada bangunan
sedia ada.
"Kalau dicampur fasa awal dan fasa kedua, jumlah keseluruhan keluasan
tanah (kawasan PPR) itu melebihi dua ekar, lebih daripada memenuhi
(syarat projek) PPR, cuma belum buat fasa dua.
"Bila fasa dua masukkan pelan pembangunan yang sama, perunding yang
sama, cuma perlu bina satu blok lagi, ia tidak lagi tertakluk kepada dua
ekar.
"Baki (tanah) yang ada adalah sebahagian daripada tanah yang luas dan
sudah tentu bahagian yang tinggal kurang daripada dua ekar. Tapi, jika
saya mahu bina PPR di sana, ia masih boleh dilakukan kerana ia hanya
membabitkan satu lagi blok," katanya.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
majlis perasmian berkelompok mesyuarat cawangan dalam UMNO Bahagian Batu
Kawan Jumaat malam.
Abdul Rahman berkata Ketua Menteri itu juga tidak patut memberi alasan
yang beliau tidak tahu bahawa tanah berkenaan diperuntukkan untuk PPR
kerana ia telah direkod dalam hansard semasa Sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN) 2012.
"Saya ada bukti...dalam hansard itu sudah jelas tercatat, apabila beliau
menjawab soalan dalam dewan, tanah itu adalah untuk PPR," katanya.
Lim dalam kenyataannya awal hari ini, berkata kerajaan negeri tidak tahu
menahu tanah Taman Manggis itu adalah untuk projek rumah kos rendah.
Katanya bagi menggalakkan pelancongan perubatan, kerajaan negeri
memutuskan untuk menawarkan tanah itu kepada sebuah hospital pakar.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment