Monday, March 21, 2016
PRN Sarawak : Pakatan Harapan Tak Berhasrat Kerjasama Dengan PAS-Ikatan
GEORGE TOWN : Pakatan Harapan tidak berhasrat menjalin sebarang kerjasama
dengan blok baharu pembangkang antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (Ikatan) bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika menegaskan perkara itu berkata
asas kerjasama dengan PAS sudah tidak wujud lagi apabila parti itu tidak
berpegang kepada prinsip dan hala tuju pakatan pembangkang.
Katanya untuk menjadi rakan sekutu apa yang penting adalah kepercayaan
antara satu sama lain, namun kemelut yang berlaku antara DAP dan PAS
sebelum ini membuatkan DAP hilang kepercayaan kepada bekas rakan
sekutunya itu.
"Saya rasa susah untuk (bekerjasama dengan) PAS dan Ikatan kerana mereka
menunjukkan mereka lebih mirip kepada Umno dan Barisan Nasional.
Kenyataan yang mereka buat tidak konsisten.
"Saya rasa asas kerjasama sudah tidak wujud lagi iaitu kepercayaan ...
yang penting ialah apa yang anda setuju dalam mesyuarat mesti berpegang
di luar.
Apabila ini tidak dilaksanakan sukar bila tidak ada kepercayaan antara
satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan alat
Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Taman Botani, di sini Sabtu.
Guan Eng berkata demikian ketika ditanya sama ada Pakatan Harapan yang
dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara akan bekerjasama dengan
gabungan PAS-Ikatan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak nanti.
Pada Rabu lepas, PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama
Ikatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment