Monday, March 21, 2016
SPRM Tahan Setiausaha Bahagian Kementerian Terima Habuan RM20 Juta
PUTRAJAYA : Seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan
pada Jumaat selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket
penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Datuk Azam Baki berkata, sindiket itu dibongkarkan menerusi Ops
Tiris yang dilancarkan suruhanjaya itu pada 17 Mac lalu.
Beliau berkata, pegawai kanan itu menerima suapan dianggarkan RM20 juta.
Tambahnya, pegawai kanan berusia 56 tahun yang berperanan sebagai dalang
adalah antara sembilan ahli sindiket yang ditahan pada Jumaat termasuk
seorang wanita.
"Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ialah mengarahkan pihak
kewangan sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada
tidak kurang 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini
bagi mewujudkan program tetapi kerja-kerja tidak pernah dilaksanakan.
"Tiada sebarang tuntutan dikemukakan oleh syarikat-syarikat itu kepada
agensi berkenaan tetapi pegawai kanan terbabit memainkan peranan supaya
memastikan bayaran dibuat kepada syarikat-syarikat tersebut," katanya
pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pegawai kanan itu berkhidmat dengan
kerajaan selama kira-kira 32 tahun dan separuh daripada tempoh
khidmatnya di kementerian berkenaan.
Tambahnya, pegawai kanan berkenaan mula memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian kementerian tersebut sejak 2008.
Menurut Azam, pegawai kanan itu menerima habuan daripada pihak
kontraktor antaranya rumah, kereta mewah, pembayaran insurans dan unit
amanah bernilai jutaan ringgit termasuk kemudahan kad kredit
'supplementary'.
"Pegawai kanan ini hidup mewah sehingga mampu membeli jam-jam tangan
berjenama, satu daripadanya tidak kurang RM400,000, barang-barang kemas
antaranya bernilai tidak kurang RM600,000, berpuluh-puluh beg tangan
berjenama ada antaranya berharga RM400,000 dan pakaian berjenama.
"Beliau juga kerap ke luar negara bersama keluarga sehingga mampu
menggunakan penerbangan kelas pertama setiap seorang," katanya.
Menurut Azam, hasil siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan sindiket telah berlaku sejak 2010.
"Tetapi kita tidak menolak kemungkinan ia telah berlaku beberapa tahun sebelum itu. Siasatan akan dilakukan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, SPRM telah membekukan sebanyak 69 akaun
bernilai RM8.33 juta dan membekukan harta-harta lain seperti rumah,
kenderaan mewah, barang kemas dan barang berjenama.
Azam berkata, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan.
"Kita akan panggil saksi-saksi daripada kementerian terbabit bagi menyiasat bagaimana dia hidup mewah.
"Kita juga akan melihat sistem dan prosedur kementerian berkenaan
sehingga berlakunya ketirisan dana yang mengakibatkan kerugian kepada
kerajaan," katanya.
Siasatan dijalankan di bawah kesalahan rasuah Seksyen 17(a) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kesalahan penggubahan
wang haram di bawah Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
Daripada Aktiviti Haram 2001.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment