
Wednesday, March 16, 2016
Hanya MT Boleh Putuskan Nasib Muhyiddin, Mukhriz Dalam UMNO – Hishammuddin

KUALA LUMPUR : Hanya Majlis Tertinggi UMNO mempunyai kuasa
memutuskan pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang
digantung daripada jawatan dalam parti.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
walaupun pelbagai desakan diterimanya untuk memecat kedua-dua pemimpin
parti yang terlibat dengan ‘Deklarasi Mahathir’ itu namun hanya Majlis
Tertinggi UMNO yang boleh membuat keputusan itu.
“Saya juga menerima desakan dan juga permintaan bukan sahaja
anggota-anggota Majlis Tertinggi tetapi anggota-anggota akar umbi dan
saya telah katakan bahawa apa yang penting berhubung perkara itu adalah
disiplin parti.
“Saya berpendapat ia akan menjadi isu yang akan dibincangkan dalam
mesyuarat Majlis Tertinggi yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
“Selagi Majlis Tertinggi sebut dan berbincang, perkara itu masih
tidak diputuskan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini
hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan
berkata pihaknya masih mendapatkan pengesahan maklumat terbaru yang
diterima berkenaan perluasan dan pembinaan keupayaan ketenteraan oleh
China di Laut China Selatan.
Hishammuddin berkata perkara tersebut akan turut dibincangkan bersama
Menteri Pertahanan Australia Marise Payne dalam lawatannya ke Kuala
Lumpur pada Isnin (21 Mac), bersama dengan isu-isu keselamatan lain.
“Maklumat yang sampai kepada kita dari pelbagai pihak berkait dengan
aset-aset ketenteraan yang diletakkan di kepulauan-kepulauan berkenaan
dan ini perlu dapat pengesahan,” katanya.
Katanya Malaysia juga perlu mendapatkan pendirian Filipina dan
Vietnam yang juga mempunyai kaitan secara langsung dalam isu pertindihan
tuntutan ini berikutan perubahan jawatan menteri pertahanan kedua-dua
negara itu.
“Saya sedia maklum di Filipina ada proses pemilihan presiden baharu
dan menteri pertahanannya akan berubah manakala di Vietnam pun menteri
pertahanan sedia ada akan melepaskan jawatan bulan depan.
“Jadi dari segi perhubungan dua hala antara dua menteri pertahanan
ini, kita kena tengok perkembangannya,” katanya sambil menyatakan
Malaysia tetap berpendirian untuk menyelesaikan isu pertindihan tuntutan
ini secara diplomasi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment