Wednesday, March 09, 2016
Hishammuddin Tidak Takut Ugutan Culik Daesh
LUMUT : Menteri
Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkata
beliau tidak takut dengan cubaan oleh kumpulan Daesh untuk menculik
beliau, tahun lalu, bagaimanapun ugutan kumpulan pengganas itu tidak
boleh dipandang ringan.
"Saya tidak gentar, ia bukan kerana diri saya (untuk diculik), tetapi kerana jawatan yang saya pegang.
"Apapun saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri kabinet lain
terjamin," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga
Angkatan Tentera di Pangkalan Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) di
sini.
Beliau mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pada Selasa yang menyatakan pasukan
keselamatan negara berjaya mengekang serta menggagalkan beberapa
rancangan serangan keganasan oleh Daesh dan cubaan menculik pemimpin
negara termasuk perdana menteri.
Zahid berkata selain perdana menteri, turut menjadi sasaran ialah beliau sendiri dan Hishammuddin.
Selain penculikan, kumpulan Daesh turut merancang serangan ke atas rumah
ibadat, tempat tumpuan ramai, merompak senjata api daripada kem tentera
dan rompakan wang tunai yang dipercayai bagi dijadikan dana untuk
kegiatan mereka.
Menjelas lanjut, Hishammuddin berkata tindakan Daesh itu jelas
menunjukkan ia semakin terdesak kerana segala perancangan jahat mereka
di negara ini berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.
"Selagi dia buat perancangan macam itu, selagi itu kita bersemangat untuk menghalang mereka," katanya.
Hishammuddin turut memberi jaminan semua kem tentera terutama yang
mempunyai stor senjata dikawal rapi bagi memastikan ia tidak dibolosi
pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pihak
keselamatan negara luar termasuk dari aspek risikan mengenai keselamatan
di negara masing-masing.
Terdahulu, Hishammuddin pada majlis berasingan di sini, mengumumkan dua
blok apartmen Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM itu akan
ditambah baik, melibatkan peruntukan RM22.5 juta.
Beliau berkata pembaikan itu dijadual bermula pada Mei dan siap pada hujung tahun ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment