Wednesday, March 23, 2016
Kenapa Saman ‘Ola Bola’ ?
“Pemain negara yang pernah membawa pasukan bola sepak ke Sukan
Olimpik di Moscow mengugut akan menyaman Ola Bola atas dakwaan filem
popular itu menukar fakta.”
Saya tidak dapat percaya apa yang tertera di depan saya. Saya
tertanya-tanya, siapa yang menasihati bekas pemain negara yang dihormati
ini.
Mereka perlu diingatkan bahawa dalam era internet ini, belia tidak
mudah dikelirukan. Kami boleh kemukakan sebarang pertanyan kepada Google
dan dapatkan maklumat daripada internet.
Fakta kejadian sebenar pada 1980 yang memberi inspirasi kepada filem Ola Bola pasti akan terkenal sebaik filem ini ditayangkan.
Mengapa semua orang marah bahawa Ola Bola tidak menunjukan fakta sebenar?
Kita selalu diajar untuk meletakkan diri kita dalam kasut orang lain.
Sikap ini mewujudkan perasaan empati dan faham-memahami antara manusia
yang berbagai-bagai dan menjadikan kita insan yang lebih baik terhadap
orang lain.
Mari kita cuba fikirkan. Mengapakah pembuat filem menukarkan profil
pemain yang menjaringkan gol kemenangan dan keputusan akhir permainan
itu, sedangkan profil semua pemain dalam filem adalah hampir sama dengan
yang sebenar?
Saya sendiri pun rasa hairan mengapa mereka menukarkan fakta
saat-saat genting peristiwa yang bersejarah ini. Inilah hipotesis saya
(‘spoiler’ di hadapan).
Cerita Ali dalam Ola Bola adalah untuk membuktikan bahawa dia adalah
penyerang yang terbaik, yang mampu menggantikan Super 10 Shamsul; impian
Ah Chai adalah untuk bermain dalam permainan dan bukan sekadar duduk
atas bangku pemain simpanan; Tauke tegas bermatlamat untuk layak ke
Sukan Olimpik; Muthu berusaha untuk hentikan penalti; Rahman berlatih
bersungguh-sungguh untuk menjadi pengulas sukan secara langsung; Eric
dari Sabah hanya ingin diterima oleh rakan sepasukannya.
Akhirnya, selaras dengan gambaran sebuah Malaysia yang penuh potensi
dan harapan dalam filem ini, setiap watak ‘percaya semula’ dan berjaya
mencapai impiannya.
Saya pasti tidak mahu watak Ali menjadi satu-satunya watak yang tidak
dapat ‘fairytale ending’ dia! Sebagai penyerang, untuk memakai jersi
nombor 10 adalah tidak mencukupi; untuk menjaringkan gol kemenangan
untuk pasukannya dalam permainan yang penting adalah pencapaian yang
paling diidamkan! (Selain itu, keputusan 3-2 tentulah mempunyai lebih
elemen drama berbanding keputusan 2-1.)
Ola Bola adalah filem fiksyen yang diilhamkan oleh peristiwa sebenar,
bukannya dokumentari. Marilah kita menghormati lesen kreatif pasukan
penerbitnya.
Tanpa Ola Bola, ramai lagi belia yang tidak akan mengenali nama
Khalid Ali, James Wong, Hassan Sani, dan lain-lain, termasuk saya yang
dilahirkan pada pertengahan 1980-an.
Daripada menyaman pembuat filem, bekas pemain negara ini perlu
menyeru setiap rakyat Malaysia untuk menonton Ola Bola. Mereka perlu
berkongsi pengalaman sebenar mereka, kerana filem ini hanyalah fiksyen.
Mereka perlu menyebarkan keinginan untuk berusaha, untuk mencapai
kecemerlangan demi kebanggaan Malaysia, bukan demi anugerah kewangan
atau gelaran datuk.
Mereka perlu memberitahu kami bagaimana bersatu tanpa mengira kaum
dan agama; bagaimana rasanya untuk memandang rakyat Malaysia yang
berbagai keturunan sebagai saudara dan rakan sepasukan.
Mereka perlu menggalakkan kami untuk ‘percaya semula’ — dalam satu sama lain, dalam Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment