Monday, March 21, 2016

Kerajaan Tidak Pernah Tutup Pintu Kerjasama

http://media.therakyatpost.com/wp-content/uploads/sites/4/2015/12/salam2.jpg
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan mana-mana pihak sama ada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik demi mencapai persefahaman sesama umat Islam.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat untuk pintu kerjasama kerana baginya, kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok-kelompok tertentu.

“Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir, ‘menang sorak, kampung tergadai’.

“Sudah pasti yang akan tergadai ini bukan sekadar kampung halaman dan tanah air, tetapi agama jua akhirnya yang menjadi taruhan!

“Sebab itulah, Islam amat menuntut pendekatan wasatiyyah di dalam segenap aspek kehidupan, daripada amalan beragama, hinggalah kepada hubungan individu dengan seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-59 bertemakan `Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata, wasatiyah dimaksudkan sebagai kedudukan paling unggul merangkumi kesederhanaan, saling menghormati dan sikap penerimaan dalam berinteraksi selain saling memahami realiti perbezaan serta menjaga batas-batas sensitiviti dan sempadan antara agama dan budaya.

Kata beliau, kerajaan melihat perkara tersebut sebagai elemen yang amat penting demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

“Hikmahnya amat besar, kerana manfaatnya akan dinikmati bukan sahaja oleh umat Islam bahkan seluruh anggota masyarakat, sesuai dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama perpaduan dan keamanan,” katanya.

Dalam masa sama, Najib turut menyeru umat Islam di negara ini agar memantapkan ukhwah dan mengukuhkan lagi silaturahim sesama mereka.

Beliau berkata, ukhwah itu penting memandangkan umat Islam hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menyentuh aspek akidah, perpaduan ummah, pendidikan Islam, kekeluargaan, sosial, politik dan ekonomi.

Menurut beliau, hanya dengan kesatuan dan perpaduan yang jitu bertunjangkan kemurnian akidah dan kesempurnaan ibadah, maka umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan dihormati.

“Kita juga perlu memiliki sikap berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat. 

Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain.

“Dalam erti kata lain, Islam membenarkan kita berbeza pendapat, menyuarakan pandangan dan juga bantahan, tetapi haruslah ada adabnya serta mestilah konsisten khususnya dalam memelihara perpaduan sesama Islam,” katanya.

“Matlamat kita untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul juga mestilah datang dengan pakej dan kaedah yang betul. Atas nama membetulkan itu dan ini sudah pasti akan menjadikan rasa aman, harmoni dan kebersamaan yang kita warisi ini goyah,” katanya.

Selain itu, kata Najib, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk perlu dipelihara sebaik-baiknya bersesuaian dengan komposisi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment