Monday, March 21, 2016
Kesetiaan Dan Ketaatan Tidak Berbelah Bagi Asas Kukuhkan UMNO
SERDANG : Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi hari ini mengingatkan anggota-anggota parti supaya memberikan
kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin yang
menerajui parti itu.
Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO
berkata sikap berbelah bahagi merupakan permulaan kepada segala
permasalahan, yang akhirnya akan merugikan parti dan perjuangan.
Ahmad
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata prinsip pegangannya
dalam perjuangan parti ialah membantu Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun
Razak yang juga Perdana Menteri serta sentiasa memastikan kekukuhan
institusi kepemimpinan parti.
“Ia merupakan asas yang perlu dipegang dan dihayati setiap anggota
parti. Itu prinsip yang saya pegang selama ini selain kita juga perlu
menghindari rasa berbelah bahagi dalam memberikan ketaatsetiaan.
“Jadi, sebagai pendokong parti, cintailah UMNO sepenuh jiwa raga agar
parti terus bergerak kukuh bersama kepimpinan sedia ada,” katanya
semasa berucap merasmikan serentak persidangan UMNO cawangan seluruh
Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysian (MAEPS) di sini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya tidak mudah
dipengaruhi cubaan individu tertentu untuk memecahbelahkan keharmonian
parti dengan mewujudkan rasa sangsi dan tidak percaya terhadap Najib.
Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, beliau menarik perhatian
dengan menyifatkan individu itu sebagai ‘kitab lama’ yang perlu
diletakkan di satu tempat tinggi tanpa perlu lagi membacanya.
“Tetapi jangan pijak kitab itu, letak di atas tetapi jangan baca
sebab ia kisah atau nostalgia lama. Jadi, tinggalkan ia sebagai sejarah
kerana kita perlu terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Beliau juga yakin saranan individu itu tidak akan mempengaruhi
pendirian sedia ada anggota parti, sebaliknya sokongan terhadap Presiden
UMNO kekal tertinggi walaupun sedar ada segelintir yang cuba ‘menjadi
kacang hantu’ yang merosakkan parti dari dalam.
Mengenai persediaan UMNO Selangor berdepan pilihan raya umum akan
datang, Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian imbuhan sebanyak
RM50,000 kepada bahagian yang berjaya mendaftarkan keahlian tertinggi,
pembukaan cawangan baharu terbanyak, dan daftar pengundi teramai bermula
tahun hadapan.
Beliau juga mahu anggota UMNO di negeri itu melupakan segala
persengketaan, bermuhasabah serta faham bahawa mereka bukannya ‘tuan’
sebaliknya adalah pembangkang yang perlu bekerja lebih keras untuk
merampas semula negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima deklarasi menyokong
kepimpinan Najib daripada Noh sebagai tanda sokongan semua ketua
cawangan dan bahagian UMNO Selangor, yang sebelum itu turut dibacakan
bersama-sama oleh kira-kira 5,000 anggota perwakilan yang hadir.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment