Monday, March 21, 2016

Satu Lawan Satu Di PRN Sarawak Sekadar Satu Mimpi – Dr Rahman

KUALA LUMPUR : Pemerhati politik tanahair, Datuk Dr. Rahman Ismail berkata, hasrat PKR untuk kekal dengan pendirian satu lawan satu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilihat hanyalah satu mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Jelasnya, walaupun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu terus memujuk Pas agar bersetuju dalam pembahagian kerusi tetapi sudah jelas Pas akan tetap bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di PRN Sarawak nanti.
PRN Sarawak 
“Pas sudahpun membuat pengumuman akan bertanding di 11 kerusi DUN jadi ini bermakna akan ada pertembungan tiga atau empat penjuru. Bagi saya kenyataan Azmin yang mengatakan pembangkang akan pastikan bahawa hanya akan ada satu lawan satu adalah satu retorik politik untuk kelirukan rakyat.

“Mana mungkin hanya akan ada satu lawan satu kerana parti pembangkang telah ada dua pakatan iaitu Pakatan Harapan dan pakatan antara Pas dengan Ikatan. Maka kenyataan satu lawan satu hanyalah satu perang psikologi menjelang PRN Sarawak,” ujarnya kepada media.

Tambah beliau, rakyat negeri Sarawak tidak akan mudah terpengaruh dengan politik murahan pembangkang ini. Tambahan pula kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memang disenangi oleh rakyat negeri itu.

“Saya yakin dan percaya PRN Sarawak akan menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN). Apa yang penting rakyat jangan mudah terpengaruh dengan muslihat pembangkang yang sentiasa mahu kelirukan pemikiran rakyat.

“Kita sebagai rakyat harus tahu menilai apa yang telah dilakukan oleh BN selama ini. BN sentiasa berusaha keras untuk membela rakyat dan membangunkan negara,” katanya lagi.

Pas sebelum ini telah mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi DUN pada PRN Sarawak ke-11, akan datang.

11 kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment