
Monday, March 21, 2016
Keutamaan Integriti Tidak Kira Siapa – Ismail Sabri

PUTRAJAYA : Soal integriti perlu diberi keutamaan tidak kira
sama ada kakitangan bawahan, pegawai kanan, menteri ataupun ketua
menteri, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob.
Ketika menasihatkan warga kementeriannya agar mengutamakan integriti
susulan laporan penyelewengan dana kerajaan di sebuah kementerian,
Ismail Sabri berkata isu integriti jika berlaku memberi kesan sangat
besar kepada perkhidmatan awam dan kementerian terlibat.
“Jadi jangan ada perkara yang melibatkan integriti berlaku di KKLW,”
katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini
hari ini, sambil menambah KKLW sedang menunggu tarikh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menandatangani ikrar integriti.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan pegawai kementeriannya disiasat SPRM berhubung isu penyelewengan.
Pada Jumaat lepas, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di
kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket
menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Ismail Sabri berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga
dilihat terkesan dan ‘menggelabah’ apabila disentuh soal integriti.
“Apa yang Lim perlu lakukan ialah serah pada SPRM dan jawab pada SPRM. Tidak perlu berdebat dan sebagainya.
“Tindakan Lim membawa wartawan melawat kediaman beliau semalam juga
tidak menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan,” katanya.
Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan
Dewan Rakyat Khamis lepas, meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan
Harta (JPPH) membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta
dibeli Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan di Jalan Pinhorn, Pulau
Pinang, sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot
tanah di Pulau Pinang, yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk
pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment