
Monday, March 21, 2016
Pengganas Mahu Bentuk Kesultanan Sulu Di Sabah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa pengganas Sulu telah melantik
‘panglima’ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dalam
usaha membentuk semula kesultanan Sulu di negeri itu.
Beliau berkata maklumat itu diperoleh daripada soal siasat terhadap
enam tali barut pengganas Sulu yang ditahan pihak keselamatan di Sabah
selain bahan-bahan bukti seperti pemacu pena dan dokumen-dokumen.
“Siasatan yang dilakukan mendapati Kesultanan Sulu melantik panglima
bagi setiap kawasan DUN di Sabah dan mereka berhasrat membentuk semula
Kesultanan Sulu untuk memerintah Sabah.
“Jadi, jangan nak pandang enteng apa yang nak dilakukan oleh
pengganas Sulu ini,” katanya semasa menggulung usul menjunjung kasih
titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata
rakyat tidak harus memandang ringan ancaman pengganas terhadap
keselamatan negara.
“Ancaman keselamatan yang dihadapi negara adalah benar dan nyata.
Dengan kecekapan pasukan keselamatan kita, tahap ancaman adalah terkawal
daripada anasir pengganas di dalam dan luar negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata sejak 2014 hingga Februari lepas, sebanyak 649
program meningkatkan kesedaran terhadap ancaman keganasan dijalankan
oleh PDRM dengan pelbagai pihak termasuk sekolah, institusi pengajian
tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat setempat dan parti
politik.
“Melihat kepada trend semasa ancaman Daesh yang semakin
membimbangkan, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan
memperluaskan lagi kumpulan sasar,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment