
Monday, March 21, 2016
Anwar Diberi Peluang Berjumpa Pelbagai Pihak Sejak Dipenjara – Zahid

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim telah
dibenarkan mengadakan 360 perjumpaan dengan pelbagai pihak sehingga 13
Mac, sejak menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh pada Februari 2015.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika
menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, pada
persidangan Dewan Rakyat hari ini, berkata sebanyak 152 perjumpaan yang
melibatkan tujuan rawatan kesihatan telah diadakan di Penjara Sungai
Buloh.
Sembilan lagi rawatan telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur.
Anwar juga dibenarkan mengadakan perjumpaan dengan keluarganya
sebanyak 19 kali di penjara dan 13 kali di hospital, 18 perjumpaan
dengan peguam serta 33 dengan pakar psikologi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bekas timbalan
perdana menteri itu juga telah berjumpa dengan peguamnya sebanyak 85
kali di luar mahkamah, menghadiri perbicaraan makhamah sebanyak 24 kali,
menghubungi keluarga menggunakan telefon sebanyak 38 kali, menggunakan
perpustakaan penjara sebanyak 52 kali dan menggunakan Seksyen 31 Akta
Penjara selama lima kali termasuk menghadiri pengebumian bapa beliau
April tahun lepas dan menemui Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam pada
Jun lepas.
“Walaupun beliau tidak diberikan keistimewaan, tetapi langkah-langkah
yang dilakukan oleh Jabatan Penjara adalah langkah-langkah yang
terdapat dalam Akta Penjara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata selain itu, Anwar juga dibekalkan dengan
beberapa keperluan yang disyorkan oleh pakar perubatan seperti katil
hospital yang berspesifikasikan khas, kerusi dan meja, fasiliti mandi air panas dan sejuk, tandas duduk dan kipas di dinding.
Makanan yang dibekalkan ialah seperti bijirin, susu rendah lemak, buah kismis, kurma, madu dan minuman protein, katanya.
“Ini harus dilihat sebagai mematuhi peraturan dan pada masa yang
sama diterjemahkan sebagai rasa perikemanusiaan yang tinggi oleh pihak
penjara,” katanya.
Ahmad Zahid juga memberitahu dewan bahawa walaupun Anwar, sebagai
seorang banduan tidak dibenarkan untuk menjalani rawatan perubatan di
luar negara, beliau dibenarkan untuk memilih dan membawa masuk pasukan
perubatan pilihan iaitu dari George Washington University dan peralatan
perubatan ke dalam negara bagi menjalankan rawatan di hospital kerajaan
yang dipilih.
Katanya Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa menghadiri
Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di sini November lepas, juga ada
membangkitkan isu rawatan kesihatan Anwar kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak.
“Perdana menteri telah memberikan penjelasan terhadap pendirian
dan tawaran kerajaan kepada Anwar, dan Presiden Obama telah mengucapkan
terima kasih kepada perdana menteri terhadap keputusan yang dibuat
kerajaan Malaysia itu,” katanya.
Anwar menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment