
Monday, March 21, 2016
Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 Sasar Bantu 150,000 Pelajar Miskin

KUALA SELANGOR : Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016
menyasarkan 150,000 pelajar lepasan sekolah cemerlang yang tercicir
dalam pelajaran akibat kurang berkemampuan dapat melanjutkan pengajian
ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata jelajah berkenaan adalah kesinambungan Program Jelajah
Destini Anak Bangsa 2014 yang mula bertapak di Universiti Teknologi Mara
(UiTM) sejak tahun 2012.
Beliau yang juga penaung dan menteri mentor JPB 2016 menyatakan
inisiatif itu kini diperluaskan kepada 10 institusi pengajian tinggi
(IPT) lain di seluruh negara bermula bagi kemasukan Mei ini.
Katanya, langkah berkenaan membuktikan kerajaan serius
memperkasa pendidikan tinggi bumiputera supaya setanding dengan
bangsa-bangsa lain selain meletakkan agenda golongan itu di mata dunia.
“Pemilihan penuntut berdasarkan kelulusan yang mereka peroleh
kerana kebanyakan pelajar luar bandar ini tidak dapat melanjutkan
pengajian disebabkan gagal dalam subjek tertentu terutamanya Bahasa
Inggeris dan Matematik.
“Bagi kemasukan Mei ini, kami sasar 37,000 penuntut untuk mendaftar
di 10 IPT terlibat dan kami akan terus jelajah ke 52 Parlimen terpilih
seluruh negara bagi mencapai objektif JPB 2016,” katanya kepada
pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jelajah berkenaan
yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di
Sekolah Kebangsaan Bandar Baru, di sini.
Jelas Ismail Sabri lagi, JPB 2016 juga akan memberi fokus kepada
program latihan teknikal dan vokasional (TVET) supaya peluang untuk
bakal penuntut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain
daripada bidang akademik dapat diperluaskan.
Katanya, bakal penuntut IPT juga bebas memilih mana-mana badan
pinjaman pendidikan bagi menampung pembiayaan sepanjang tempoh pengajian
tersebut.
JPB 2016 diberi transformasi baharu oleh Najib untuk memberi peluang
kedua kepada pelajar bumiputera melanjutkan pengajian dengan rakan
strategik institusi pendidikan antaranya Universiti Kuala Lumpur
(UniKL); kolej komuniti; Kolej Polytech Mara (KPTM); Institut Kemahiran
Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment