
Monday, March 21, 2016
Nilai Pasaran Banglo Lim Guan Eng RM4.27 Juta – Rafizal

GEORGE TOWN : Nilai sebenar banglo di Jalan Pinhorn di sini
yang dibeli Lim Guan Eng ialah RM4.27 juta dan perkara itu terkandung
dalam notis taksiran pindah milik harta tanah Lembaga Hasil Dalam Negeri
kepada ketua menteri Pulau Pinang itu, Ogos lepas.
Pemuda UMNO Pulau Pinang telah memperoleh salinan notis bertarikh 27
Ogos 2015 itu yang menyatakan Lim perlu membayar duti setem sebanyak
RM122,100 berdasarkan nilai pasaran rumah itu ialah RM4.27.
Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim menunjukkan salinan itu kepada
pemberita sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di sini hari ini berhubung isu pembelian banglo itu.
Semalam, Lim, ketika membawa pemberita melawat rumahnya, dilapor
berkata beliau tidak mengetahui nilai pasaran banglo dua tingkat yang
dibeli dengan harga RM2.8 juta itu kerana beliau bukan ejen hartanah.
Rafizal berkata adalah mustahil setiausaha agung DAP itu tidak tahu nilai harga pasaran sebenar rumah yang dibelinya itu.
“Biasanya kita akan semak dulu sebelum kita beli. Beli rumah ni
adalah satu perkara yang cukup besar. Mesti kita tahu nilai pasaran
berapa,” katanya.
Pembelian rumah banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang itu
menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk
Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat,
Khamis lepas.
Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang,
turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian
ke atas hartanah berkenaan.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di
Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan
rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Rafizal berkata Pemuda UMNO Pulau Pinang dalam laporannya meminta
SPRM menyiasat sama ada berkaitan antara pembelian banglo itu dan
penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis di sini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment