Thursday, March 10, 2016

Lawan Dengan KJ PUN KALAH, Macam Mana Nak Jadi Presiden??

EDITOR MENULIS...
10 MAC 2016
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/04/khairy-muhkriz.jpg
Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa lagi pemimpin UMNO duduk semeja bersekongkol dan bersatu bersama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mat Sabu ketika Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO, apa agaknya reaksi beliau?

Bagi orang-orang lama di dalam UMNO yang hidup di bawah panji-panji Sang Saka Bangsa di zaman Dr Mahathir, mereka amat tahu dan kenal dengan corak atau gaya kepimpinannya. Mereka yang bersekongkol dengan puak pembangkang sudah tentu tidak akan diberi muka.

Dr Mahathir 'selamat' kali ini dan tidak perlu dipecat dari UMNO kerana beliau sudah pun keluar dari parti ketika bersekongkol dengan musuh-musuh perjuangan UMNO baru-baru ini. Beliau bebas dari sebarang tindakan parti.

Namun yang 'tidak selamat'nya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Sanusi Junid dan beberapa lagi pengikut Dr Mahathir, yang 'tercucuk hidung' untuk bersama 'sejiwa' dengan pembangkang baru-baru ini.

Apatah lagi tujuan mereka berhimpun itu adalah untuk menjatuhkan Presiden UMNO dari jawatan Perdana Menteri, ia dilihat sebagai satu tindakan khianat terhadap institusi kepartian itu sendiri. Ramai yang marah pada mereka kini.

Sebelum ini, mungkin ada yang 'simpati' bila mereka digugurkan dari jawatan lantikan. Ramai yang tidak faham mengapa mereka perlu digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Menteri Besar. Ramai yang marah-marah kerana gagal memahami tentang apa yang sedang berlaku di dalam UMNO.

Kini makin terserlah jawapannya. Mereka sudah terang-terang menunjukkan 'belang' sebenar masing-masing. 'Warna sebenar' mereka semakin mereka zahirkan di khalayak ramai. Tapi mereka 'bijak', mereka bermain sentimen kononnya mereka mahu Dato' Seri Najib Tun Razak dijatuhkan 'demi rakyat'...

Taktik itu adalah 'senjata model lama'. Di zaman ini, ahli politik tidak menggunakan 'senjata dan peluru' yang sudah lapok sebegitu untuk menjatuhkan lawan dalam parti sendiri. Kita di zaman millennium, dan mereka perlu mencari kaedah yang lebih kreatif untuk jatuhkan Najib.

Mereka dakwa Najib dengan GST, RM2.6 bilion dan 1MDB? GST itu Dr Mahathir yang perkenalkan dan pernah diumum oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu. Pembangkang pun kata tidak akan mansuhkan GST jika berkuasa. Jadi apa masalahnya dengan GST? Salah Najib juga?

Isu RM2.6 bilion itu sebenarnya isu dalaman UMNO. Ia adalah dana sumbangan untuk UMNO dan bukan untuk rakyat. Lagipun, kerabat Diraja Arab Saudi pun sudah mengesahkan pemberian dana politik itu kepada Najib yang menjadi pemegang amanah UMNO.

Jadi kenapa hendak dikaitkan kononnya wang itu milik rakyat? Yang pembangkang sibuk sangat dengan duit UMNO itu kenapa? Macamlah orang tidak tahu dari mana pembangkang dapat dana politik. Berani dedah?

Isu 1MDB pula semakin hampir selesai. Dari hutang RM42 bilion, dalam tempoh yang singkat saja ia berjaya dikurangkan hingga RM12 bilion. Dijangka dalam sebulan dua lagi, semua hutang itu akan selesai dan 1MDB akan kembali mencatat keuntungan dari pulangan pelaburan yang dibuat. Biasalah, itukan adat 'pelaburan'. Melabur dahulu, dapat hasilnya kemudian...

Sebenarnya tiada isu pun untuk memaksa Najib letak jawatan. Isu-isu itu sengaja direka-reka dan digembar-gemburkan untuk menjatuhkan Najib. Diyakini bahawa mereka punya agenda sebenar di sebalik serangan yang dibuat.

Dikatakan bahawa antara agenda sebenar mereka adalah untuk mempercepatkan proses anak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum beliau 'menutup mata'. Hasrat melihat anaknya menjadi Menteri Besar sudah dicapai dengan bantuan Najib. Kini dia mahu Najib memberikan jawatan yang disandang pula pada anaknya?

Bagaimana hendak jadikan anaknya Perdana Menteri, jika anaknya gagal bertanding merebut jawatan yang lebih rendah dari Presiden UMNO? Bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO berlawan dengan Khairy Jamaluddin dan Dr Khir Toyo pun anaknya dapat nombor tiga?

Bertanding pula Naib Presiden selepas itu, tapi tewas juga? Tapi mujurlah atas ehsan dan budi bicara Najib, anak Dr Mahathir masih diberi tempat. Dia dilantik jadi Timbalan Menteri walaupun tewas merebut jawatan Ketua Pemuda. Khairy yang menang pun tidak dilantik jadi Menteri ketika itu.

Dia kemudian dilantik menjadi Menteri Besar Kedah atas permintaan Dr Mahathir sendiri kepada Najib. Mungkin jenis manusia tidak mengenang budi baik keluarga Najib dan diri Najib sendiri, kini mereka dua beranak tuduh pula Najib merosakkan negara. Guna wang rakyat RM1 bilion untuk selamatkan syarikat anak tidak rosakkan negara?

Di UMNO Bahagian Jerlun pun diberi laluan oleh bekas Ketua Bahagian. Entah apa 'habuan', entah apa 'ugutan' yang diberikan, tiba-tiba saja anaknya naik jadi Ketua Bahagian? Padanlah Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian pun tidak 'sekepala' dengannya...

Eloknya Dr Mahathir tubuhkan parti baru atau masuk saja DAP, PKR atau PAN. Muhyiddin dan Mukhriz pula eloklah keluar parti dan ikut jejak Dr Mahathir sebelum dipecat dari parti. Sedarlah bahawa UMNO memang tidak boleh terima 'jemuan' dan 'munafik' dalam perjuangan..

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment