
Wednesday, March 16, 2016
Malaysia Tidak Terlibat Kerjasama Memerangi Ekstremis Di Yemen Dan Syria – Hishammuddin

KUALA LUMPUR : Malaysia tidak pernah terlibat dalam
kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yemen dan
Syria yang dipimpin Arab Saudi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Eksesais “Thunder of
the North” (Raad al Shamal) baru-baru ini adalah atas jemputan julung
kali pihak Arab Saudi berdasarkan hubungan bilateral kedua-dua negara
yang berada pada tahap tertinggi.
“Latihan ini diadakan di Utara Arab Saudi, sementara Yemen pula
terletak di selatan sempadan Arab Saudi. Jelas sekali latihan ini tidak
ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan di Yemen ketika ini.
“Malaysia menyokong usaha membanteras kegiatan militan, namun ATM tak
sanggup terlibat secara langsung dengan operasi ketenteraan di Yemen.
Ia berbeza antara eksesais North Thunder ,” katanya ketika menjawab
soalan Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata untuk menjadi sebuah pasukan tentera yang
kredibel di rantau ini, ATM sentiasa mengambil kesempatan dan peluang
melatih anggotanya dalam pelbagai situasi dan suasana yang membolehkan
angkatan itu beroperasi dalam multi-terrain.
Beliau berkata matlamat penyertaan ATM dalam operasi North Thunder
merangkumi empat laluan yang telah dibentang oleh pihak Arab Saudi iaitu
bagi memastikan punca kewangan kumpulan pengganas Daesh dapat
ditangani; membuat naratif balas kepada ideologi Daesh.
“Yang seterusnya membetulkan hubung kait komunikasi bagaimana media
barat yang tidak menggambarkan wajah sebenar Islam dan terakhir ialah
berdasarkan perkara ketenteraan,” katanya.
Hishammuddin berkata sehingga Februari lepas seramai 398 rakyat
Malaysia masih berada di Yemen dengan 31 pegawai dan 56 anggota
lain-lain pangkat berada di Riyadh, Arab Saudi.
Sementara itu, dalam sidang media di lobi Parlimen, Hishammuddin
berkata penyertaan Malaysia dalam eksesais itu tidak dibawa ke Parlimen
untuk dibincangkan kerana ia merupakan eksesais biasa di mana ATM
merancang untuk mengadakan 41 lagi eksesais tahun ini termasuk bersama
negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
“Ia bukan perkara baharu, pendirian kita konsisten daripada dahulu
bahawa ia tidak melibatkan operasi ketenteraan kita,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment