Monday, March 21, 2016

Pemimpin UMNO Dan PAS Semakin Kerap Duduk Bersama... Ada Apa-Apa Ke ?

Dalam bulan Mac ini... sekurang-kurangnya ada tiga pertemuan pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS dalam program secara terbuka, satu minggu lepas, satu malam Ahad dan satu lagi minggu depan.

Kali pertama di majlis ceramah agama di Masjid Saidina Abu Bakar Bangsar minggu lepas di mana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ceramah agama dan beliau disambut dan ditemani sepanjang program oleh Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Manakala kedua di Masjid Wilayah Persekutuan malam Ahad... kehadiran dua ahli parlimen PAS iaitu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasaruddin Hassan Tantawi dalam majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik perhatian ramai.

Kedua-duanya dilihat berbual mesra dengan Najib dikelilingi oleh para ulama dan disaksikan 20,000 pelajar tahfiz Al Quran seluruh negara.

Manakala program ketiga dijadualkan Rabu ini, di mana Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din akan duduk sepentas dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu forum di UKM Bangi.

Kekerapan pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS bertemu akhir-akhir ini menarik perhatian dan ramai yang  bersyukur kerana UMNO dan PAS merupakan dua parti Bumiputera terbesar di Malaysia sudah boleh duduk semeja.

Pada Ahad, majlis yang dihadiri oleh Najib mendapat sambutan luar biasa dengan dihadiri oleh lebih 20,000 pelajar tahfiz seluruh negara.

Ia dimulakan selepas solat Asar dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh qari dari Afrika Selatan, Salim Gaibe.

Kemudiannya program diisi dengan ceramah agama disusuli bacaan khatam al-Quran oleh semua yang hadir.

Najib turut bersolat maghrib dan diikuti dengan solat hajat mendoakan kesejahteraan Malaysia bersama-sama hadirin yang diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Najib dalam ucapannya berkata, kerajaan mendukung pendidikan tahfiz di negara ini dengan sebaiknya menerusi penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat sebagai unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 1966.

Beliau berkata, dengan penubuhan unit itu, pengajian bidang Tahfiz al-Quran bermula di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan lapan pelajar perantis dipilih dari negeri di Malaysia.

"Maahad Tahfiz adalah institusi tahfiz rasmi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini menunjukkan betapa dekatnya pendidikan tahfiz dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia," katanya.

Kerana itu Najib berjanji akan melaksanakan satu dasar yang mengangkat martabat Ma’ahad Tahfiz.

Dasar yang dinamakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara ini dilihat dapat menyusun dan mengembalikan struktur pendidikan Tahfiz agar lebih tersusun dan teratur.

“Adalah menjadi hasrat saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan malaysia, untuk melihat pendidikan melalui maahad tahfiz ini terus berkembang dengan cara tersusun dan teratur supaya mereka dapat memainkan peranan dan sumbangan yang lebih besar kepada kepada Ummat islam di negara kita,” katanya.

“Sebab mereka yang berkelulusan maahad tahfiz yang merupakan pejuang meneruskan perkembangan Al-quran, maka patutlah kita memberikan penghormatan kepada mereka.” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran merupakan antara ramuan yang terpenting dalam konteks memelihara agama.

"(Ia) sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam yang suci ini, sama ada fitnah dan ancaman oleh ekstremis radikal mahupun ancaman pemikiran oleh kelompok pelampau liberalisme yang semakin galak melebarkan fahaman mereka dalam kalangan masyarakat kita hari ini," kata beliau.

Najib juga menyambut baik penubuhan persatuan madrasah dan maahad tahfiz dinegeri-negeri, yang membolehkan suara dan pandangan warga institusi tahfiz diperkasakan.

Mengenai penubuhan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) yang merupakan gabungan kepada PINTA-PINTA Negeri, perdana menteri mencadangkan pimpinan PINTA Kebangsan memberi tumpuan kepada isu-isu di peringkat nasional dan antarabangsa serta sentiasa bersedia untuk aktif melebarkan skop sumbangan kepada masyarakat, negara dan antarabangsa.

Beliau turut mengumumkan pemberian dana sebanyak RM10,000 ribu kepada PINTA untuk memenuhi keperluan mereka.

“Saya akan memberikan sokongan dan bantuan kewangan bermula dengan sumbangan sebanyak 10 ribu ringgit kepada setiap PINTA di peringkat negeri untuk memenuhi keperluan mereka.” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada usaha Pinta ini, beliau turut mengumumkan penajaan kepada 10 orang wakil PINTA untuk menunaikan ibadah haji.

“Saya nak umumkan sebagai langkah sokongan kepada PINTA, bermula tahun ini melalui program haji di bawah program Yayasan 1MDB, maka hari ini saya nak masukkan 10 orang wakil PINTA dalam rombongan ini untuk mengerjakan ibadah haji.” ujarnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment