Monday, March 21, 2016
Penyelewengan RM107 Juta Tidak Jejas Penganjuran Sukan SEA 2017
PUTRAJAYA : Penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta
dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menjejaskan penganjuran
Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan beberapa projek pembangunan sukan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penyelewengan
tersebut tidak membabitkan kos menaik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil
bernilai RM1.1 bilion bagi penganjuran Sukan SEA 2017.
“Saya berpendapat ia tidak akan memberi kesan kepada Sukan SEA kerana
ini secara khusus berkaitan kelulusan tertentu yang diberi kepada satu
daripada agensi.
“Kerja naik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil itu dibuat secara tender
terbuka melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan
Perdana Menteri (JPM). Proses perolehan Kompleks Bukit Jalil itu tidak
dibuat di peringkat KBS,” katanya pada sidang media berhubung isu
penyelewengan itu di sini hari ini.
SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian
itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana
kerajaan bernilai RM107 juta.
Selain pegawai kanan KBS yang berusia 56 tahun itu, SPRM turut
menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan
kontraktor syarikat penganjuran acara.
Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah
kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu
hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek
pembangunan setakat ini.
“Projek dan program pembangunan yang tidak melibatkan kelulusan
peruntukan yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti
biasa, tetapi kalau pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur
kelulusan KBS, kami sedia untuk bekerjasama dengan pasukan itu,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment