Monday, March 21, 2016

‘Tuisyen Ringkas’ Cara Kira Hutang Negara Untuk Anak Tok Guru Abdul Hadi

EDITOR MENULIS...
21 MAC 2016
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengingatkan Kerajaan Pusat supaya tidak boros berbelanja dan tidak meningkatkan hutang negara. Ingatan seperti itu adalah baik.

Namun saya ingin menyarankan kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang supaya menghantar anaknya itu mengikuti kursus khas mengenai cara pengiraan hutang negara yang terkini supaya dia tidak tersalah anggap.

Ini adalah kerana jika dirujuk pada kenyataan media yang dibuat Khalil, dia seolah-olah beranggapan Kerajaan Malaysia berhutang sebanyak RM630.5 bilion. Mungkin kerana hutang yang ‘banyak’ itu maka Khalil bersuara ‘menasihati’ pihak kerajaan.

Namun saya berbesar hati sedikit di sini untuk memberikan ‘tuisyen ringkas’ kepada Khalil tentang keadaan sebenar hutang negara yang dia risau-risaukan itu. Ia adalah sebagai salah satu ‘khidmat bakti masyarakat’ kepada Khalil supaya tidak memalukan daya intelektual Pemuda PAS di masa akan datang.

Buat pengetahuan Khalil, standard laporan kewangan antarabangsa dalam mentakrif ‘hutang luar negara’ telah berubah, tidak menggunakan standard lama di zaman ‘pak kadok’ dulu. Memang benar, hutang Kerajaan Malaysia pada tahun 2013 ialah RM196 bilion dan pada Mac lalu dikatakan mencecah lebih RM700 bilion.

Siapalah yang tidak terkejut dengan peningkatan ‘hutang’ sebanyak tiga kali ganda itu, bukan? Namun Khalil perlu tahu bahawa sekiranya cara pengiraan hutang di zaman ini sama seperti tahun 2013, maka hutang sebenar negara ketika itu mencecah RM700 bilion.

Cara pengiraan hutang negara yang terkini adalah merangkumi hutang yang diambil di dalam mata wang selain daripada Ringgit Malaysia seperti Euro, USD, Yen daripada bank luar negara, kerajaan luar dan juga institusi kewangan seperti Bank Dunia dan IMF.

Hutang tersebut bukanlah dikira yang melibatkan hutang yang diambil oleh kerajaan, bahkan hutang yang diambil oleh syarikat awam, pihak swasta, dan individu. Maksudnya, hutang negara yang terkini dikira merangkumi apa juga jenis hutang kerajaan Malaysia dan rakyat di negara ini.

Pada Mac 2015, dilaporkan media bahawa jumlah hutang negara adalah RM744.7 bilion. Namun begitu, 42% dari hutang itu adalah deposit dan hutang warga asing, 37% darinya adalah hutang sektor swasta, 10% darinya adalah hutang syarikat awam dan 9% lagi adalah kredit pelaburan dan jaminan.

Pada Mac 2015 itu juga, hutang sebenar Kerajaan Malaysia hanyalah mewakili 2% sahaja dari jumlah berkenaan, menyamai RM16.8 bilion sahaja. Untuk pengetahuan Khalil juga, Kerajaan Malaysia tiada sebarang hutang pada Bank Dunia mahupun ‘rakan Anwar’, IMF.

Sekiranya dibandingkan jumlah hutang negara yang dikatakan Khalil sebanyak RM630.5 bilion itu, Khalil juga perlu tahu bahawa media juga melaporkan bahawa hutang Singapura yang pada RM3.13 trilion. Khalil tahu beza antara ‘trilion’ dan ‘bilion’? Tapi Singapura tidak pun dikhuariti akan ‘muflis’…

Jadi, pesan saya kepada anak Abdul Hadi itu, usahlah resah gelisah dengan perbelanjaan Kerajaan Malaysia. Mungkin lebih wajar Khalil berpesan pada rakyat, syarikat swasta, bank-bank dan pihak lain yang menyumbang kepada peningkatan ‘hutang negara’.

Saya yakin, mungkin ada di kalangan Pemuda PAS yang suka berhutang dan mereka mungkin akan mengikut nasihat anak Tok Guru Abdul Hadi untuk membayar hutang masing-masing. Lagipun, bukankah hutang itu adalah sesuatu yang wajib dibayar mengikut Islam?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment