
Wednesday, March 09, 2016
Pertahanan Mahathir Lemah, Guna Semula Taktik Lama
EDITOR MENULIS...
9 MAC 2016

Tertekan dengan kritikan keras dan pedas ahli
UMNO dan tokoh-tokoh Melayu ke atas beliau, Tun Mahathir Mohamad tampil
mempertahankan diri dalam artikel terbaru beliau "UMNO dan DAP".
Jika dibaca keseluruhan tulisan tersebut ia merupakan lenggok dan
nahu politik yang sama seperti mana digunakan oleh Mahathir untuk
menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Abdullah Ahmad Badawi. Ia juga
lenggok yang sama digunakan oleh Tengku Razaliegh Hamzah dan Anwar
Ibrahim ketika menetang Mahathir.
Dengan kata lain mereka hanya mengulang-ulang skrip yang sama bersembunyi di belakang nama agenda rakyat.
Apabila Mahathir menulis, “Hak ahli dalam UMNO, Mesyuarat Agong UMNO,
Majlis Tertinggi UMNO sudah tidak berfungsi lagi. Mulut anggota dan
badan-badan dalam UMNO sudah ditutup rapat oleh Najib dengan
berbagai-bagai cara, dengan melumpuh bukan sahaja badan-badan tertentu
dalam parti tetapi melalui institusi-institusi Kerajaan seperti polis,
Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, PAC dan lain-lain.”
“Tindakan Najib menekan bukan sahaja parti-parti politik tetapi juga
keatas semua rakyat tanpa mengira kaum atau parti. Dalam keadaan ini
rakyat yang menjadi mangsa sudah lumpuh dan tidak lagi dapat bergantung
kepada parti politik mereka sendiri untuk perlindungan, dan tidak pun
melalui institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi keselamatan
rakyat.”
Bukankah ini perkara yang hampir sama dituduh oleh Mahathir ke atas Tunku Abdul Rahman selepas peristiwa 1965?
Bukankah perkara yang lebih kurang sama Ku Li tuduh Mahathir apabila
beliau menentang Mahathir dan kemudiannya menubuhkan Semangat 46.
Kemudiannya Ku Li bekerjasama dengan DAP dan PAS dengan sokongan bekas
Ketua Hakim Negara yang dipecat?
Bukankah hal yang lebih kurang sama sama sahaja diucapkan oleh Anwar Ibrahim selepas dipecat oleh Mahathir?
Konteks yang hampir sama digunakan semula oleh Mahathir apabila menentang Pak Lah dan sekarang Mohd Najib Razak.
Soalnya, apakah ini realiti atau retorik?
Ungkapan ini mungkin berkesan semasa zaman sebelum Najib kerana
kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi kuasa kepada
kerajaan menahan tanpa bicara selama dua tahun.
Mahathir hampir ditangkap di bawah ISA oleh Tunku. Ku Li difitnah
oleh media-media kawalan bawah Mahathir dan ISA masih wujud sehingga
zaman Abdullah.
Soalnya apakah justifikasi untuk menyatakan kerajaan hari ini masih
seperti zaman dulu disebalik pemansuhan ISA, liberalisasi media massa
dan kewujudan media sosial yang tidak lagi dapat disekat oleh kerajaan.
Malah UMNO sendiri pada zaman Najib Razak membuka pemilihan sehingga
ke akar umbi. Jika zaman Mahathir Mohamad hanya 2 ribu perwakilan
menentukan siapa Presiden UMNO, hari ini lebih 200 ribu orang layak
menentukan siapa Presiden UMNO.
Bolehkah pertukaran seorang peguam negara yang menjalani dialisis
tiga kali seminggu pada zaman Mohd Najib disamakan dengan pemecatan
Ketua Hakim Negara dan Lima Hakim Kanan Persekutuan?
Kesemua masalah yang disebutkan oleh Mahathir bagi mempertahankan
kerjasama beliau dengan DAP sebenarnya lebih dahsyat dan teruk pada
zaman beliau berbanding Mohd Najib.
Kerosakan imej kehakiman paling teruk berlaku pada Zaman Mahathir
melalui pemecatan Ketua Hakim Negara, Hakim-hakim Kanan, dua kali krisis
perlembagaan dengan raja-raja Melayu, pendakwaraya arah dibakar bukti
video lucah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, perbicaraan Anwar
Ibrahim.
Kerosakan ekonomi negara yang teruk juga berlaku zaman Mahathir
dengan kerugian RM 30 bilion wang Bank Negara, MAS hilang berbilion
ringgit aset, Perwaja berkali-kali terpaksa diselamatkan dan ringgit
mencapai tahap paling buruk dalam sejarah negara pada zaman Mahathir.
Rakyat mana yang lumpuh dan lemah hari ini seperti dakwaan Mahathir untuk menghalalkan kerjasama dengan DAP?
Hari ini pertumbuhan ekonomi negara berada pada paras 5%, pelaburan
asing yang jauh lebih tinggi dari zaman sebelum Najib, perkhidmatan
kesihatan yang sangat murah, perkhidmatan pendidikan yang disubsidi 90%,
harga petrol yang kian murah berbanding 2 tahun lalu dan ringgit
kembali pulih menghampiri.
Justeru rakyatyang lumpuh dan lemah hanyalah Mahathir dan kroni-kroni
beliau yang sudah kurang projek besar untuk membolehkan mereka
berbelanja mewah, terbang dengan jet peribadi dan membeli istana di luar
negara.
Cukuplah Tun Mahathir, tiada alasan masuk akal untuk Tun bekerjasama dengan DAP.
Bertaubatlah sebelum suatu hari nanti anak cucu Melayu jijik menyebut nama Tun bila membaca sejarah kejatuhan UMNO kepada DAP!!
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment