Monday, March 21, 2016

Saya Bukan Pencuri…- PM

Datuk Seri Najib Tun Razak jelas gembira melihat lebih 5,000 orang dalam himpunan soladiriti setibanya di Pengkalan TUDM Kuantan pagi Sabtu untuk menghadiri acara sekitar Kuantan dan Pekan.

Beliau mengakui hatinya terubat melihat suasana itu.

“Walaupun saya diserang pelbagai pihak, saya rasa terubat melihat penyokong saya pada hari ini dan sedar saya tidak keseorangan,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Pahang juga dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kata Najib beliau yakin perhimpunan lebih besar lagi dapat dibuat.

Namun katanya cukuplah kerana beliau tahu akar umbi kuat menyokong.

Selain ahli UMNO hadir sama ahli dan pimpinan parti komponen BN yang lain.

Dalam ucapan di situ, Perdana Menteri tegas berkata bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin UMNO dan pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk rakyat.

"Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran pantai, gunung, semua kita kena jaga," katanya.

Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya.

Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat dengan cara tidak demokrasi.

"22 tahun kutuk parti DAP... kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang) rasis... kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia.

"Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun ... hari ini dia duduk sebelah siapa, dia 'sign' (tandatangan) deklarasi rakyat dengan siapa," soalnya.

Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin UMNO dan pembangkang tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini.

"Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi sekarang ini lain pula," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment