Monday, March 21, 2016
Syabas Penyokong UMNO Beri Sokongan Padu.... Jangan Ingat Saya Penyangak - PM Najib
KUANTAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk
terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi
negara dan kebajikan rakyat.
Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang
digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya
sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin
nombor satu negara.
"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang
dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya
bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan
sebaik-baiknya.
"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang).
Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya
tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.
"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya
tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat
saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya
pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia, di sini, Sabtu.
Himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan
Najib, dihadiri lebih 5,000 anggota dan pemimpin Umno dan Barisan
Nasional daripada 14 Umno bahagian di negeri ini. Turut hadir Menteri
Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Najib yang juga Presiden Umno dan Anggota Parlimen Pekan sebelum itu
tiba di Pangkalan TUDM, di sini kira-kira 9.30 pagi dengan menaiki
pesawat khas dan disambut oleh Adnan serta pimpinan parti.
Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti
supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin Umno dan
pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding
langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk
rakyat.
"Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang
muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang
kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran
pantai, gunung, semua kita kena jaga," katanya.
Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama
pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya.
Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang
oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila
cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat
dengan cara tidak demokrasi.
"22 tahun kutuk parti DAP... kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang)
rasis...kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan
Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia.
"Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun ...
hari ini dia duduk sebelah siapa, dia 'sign' (tandatangan) deklarasi
rakyat dengan siapa," soalnya.
Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin Umno dan pembangkang
tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan
tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini.
"Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi
undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi
sekarang ini lain pula," katanya.
Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir,
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dan Kit Siang
adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong
penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pahang yang
hadir pada Himpunan Solidariti hari ini untuk menyatakan sokongan
terhadap kepimpinannya.
Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana
ia menggambarkan beliau tidak keseorangan dalam menghadapi pelbagai
ujian dan cabaran dalam memimpin negara.
"Sebagai anak watan Pahang hati ini terubat hari ini. Walaupun diserang
daripada mana-mana pun, tetapi kalau 'askar' saya ini seperti hari ini,
saya tidak keseorangan, I'm not alone," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment