Monday, March 21, 2016

Tak Bubar Dun Kedah Sebab Takut BN Hilang Kuasa Konon

EDITOR MENULIS...
21 MAC 2016
http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.475290.1453514423!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg
Baru-baru ini, Dato' Seri Mukhriz Mahathir memberitahu media kononnya dia berhak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika dia berdepan dengan krisis dalaman UMNO di negeri itu, dan sekaligus mendorong supaya pilihan raya negeri diadakan.

Namun kata Mukhriz, dia sengaja tidak berbuat demikian kerana tidak mahu Kerajaan Negeri Kedah jatuh ke tangan pihak pembangkang sekiranya berlaku pilihan raya di negeri tersebut. Kononnya, dia nak tunjuk dirinya 'penyelamat' kuasa BN di Kedah kiranya...

Pada pandangan saya, kenyataan seperti itu hanya akan dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang 'perasan bagus' dan tidak faham tentang undang-undang tubuh negeri, serta gagal memahami amalan konsep demokrasi di negara kita.

Menghairankan, kenyataan itu terbit dari mulut seorang anak 'aristokrat' lulusan luar negara yang dikatakan 'maha popular' di media sosial. Tidak tahu siapa yang menyuruhnya mengeluarkan kenyataan dangkal seperti itu, namun mungkin bapanya yang berikan idea tersebut padanya.

Untuk pengetahuan Mukhriz, Dewan Undangan Negeri di sesebuah negeri di negara ini hanya boleh dibubarkan oleh Sultan di negeri berkenaan. Jika tiada Sultan, maka ia tertakluk pada perkenan dari Jemaah Pemangku Sultan. Ia juga berkuatkuasa di Kedah.

Seorang Menteri Besar pula hanya sekadar boleh mencadangkan saja kepada Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia adalah terletak kepada budi bicara Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan untuk memperkenan cadangan itu atau sebaliknya.

Bagi fakta berkenaan hujah yang saya utarakan, Mukhriz boleh rujuk pada kes yang berlaku di negeri Perak ketika berlakunya peralihan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat, yang diketuai Dato' Seri Nizar Jamaluddin kepada BN yang diketuai oleh Dato' Seri Zambry Abdul Kadir.

Jadi, tidak perlulah Mukhriz menipu rakyat dengan hujah retorik 'perasan bagus', kerana kedangkalan hujah sebegitu hanya akan berjaya memperbodohkan mereka yang malas membaca dan tidak berpengetahuan tentang undang-undang dan perlembagaan persekutuan.

Namun begitu, menurut pengamatan saya di negeri Kedah ketika kemelut itu berlaku, terdapat cadangan dari kem Mukhriz sendiri untuk membubarkan Dun Kedah. Namun cadangan itu tidak dilaksanakan atas sebab lain, bukan disebabkan 'takut BN hilang kuasa' di negeri berkenaan.

Difahamkan dari pemerhati politik Kedah, sebab sebenar Mukhriz tidak membubar Dewan Undangan Negeri ketika itu, adalah disebabkan dia sedar bahawa dirinya tidak mungkin akan dicalonkan semula oleh UMNO/BN sekiranya berlaku pilihan raya.

Saya difahamkan oleh beberapa orang rakan, UMNO Kedah ketika itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pembubaran Dun Kedah dan menghadapi pilihan raya negeri. Bagi mereka, kalah pilihan raya pun tidak mengapa asalkan UMNO Negeri tidak terus dijahanamkan Mukhriz dan kemnya.

Selain itu, menyedari taktik bubarkan Dun Kedah tidak memberi sebarang kesan ancaman hilang jawatan Menteri Besar, Mukhriz dikatakan sedaya upaya bertahan dan melancarkan strategi memperlekeh kredibiliti majoriti pemimpin UMNO yang sedar tentang dirinya 'tidak menjalankan tugas' dengan baik.

Namun Mukhriz terpaksa lepaskan jawatan apabila Jemaah Pemangku Sultan mendapati adalah benar majoriti Adun di Dun Kedah telah hilang kepercayaan padanya, dan keadaan itu memaksa dia melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah.

Nampaknya, walaupun sudah tersungkur kerana dijahanamkan para pegawai di kelilingnya, Mukhriz masih lagi tegar enggan mengaku silap. Egonya selaku anak 'aristokrat' mungkin mengajar dirinya untuk terus menuding jari pada parti sendiri yang enggan lagi 'dipergunakan' oleh individu berkepentingan diri sepertinya.

Itupun Mukhriz tidak sedar diri dan mendakwa UMNO berjaya menawan Kedah kembali kerana dirinya seorang? Malulah! Padahal seluruh akar umbi dan pemimpin UMNO di negeri itulah yang bertungkus lumus, bersatu dan mengenepikan segala pertelingkahan untuk menawan Kedah semula dari PAS.

Mukhriz hanya pulang ke Kedah kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13, tiba-tiba mahu mengaku dia 'hero' yang bertanggungjawab menawan Kedah? Apakah Mukhriz fikir dia boleh menawan Kedah tanpa Dato' Seri Ahmad Bashah, Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Ketua UMNO Cawangan dan akar umbi parti di negeri itu?

Dasar tak mengenang budi. Sudah diangkat menjadi Menteri Besar, tidak pula dia jalankan tugas dengan baik. Sebaliknya sibuk mempromosi dan mempopularkan diri di kalangan orang kampung. Apa Mukhriz fikir orang kampung di Kedah itu bodoh seperti penasihat-penasihat di sekelilingnya?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment