Wednesday, March 23, 2016
Tokong Yang Berkuasa Katakan.... Tiada Keperluan Untuk Saya 'Direhatkan', Kata Guan Eng
SHAH ALAM : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng enggan melayan
desakan daripada beberapa pihak yang mahukan beliau mengambil 'cuti
rehat' sehingga kes pembelian rumah banglo mewahnya selesai.
"Saya tidak faham kenapa saya perlu bercuti atas dakwaan palsu ini,
malah saya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan ke atas siasatan SPRM
dan juga Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan penuh.
"Pun begitu, saya serahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan
dan menggesa mereka suapaya ia dilakukan secepat mungkin supaya nama
saya dan nama kerajaan negeri dapat dibersihkan.
"Saya telah menyatakan kesediaan penuh kepada SPRM dan berharap siasatan
akan berjalan secara adil, bebas dan profesional," katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Sebelum ini Pemuda Pas Pulau Pinang menyarankan supaya Guan Eng bercuti
daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.
Perkara yang sama juga disuarakan oleh Presiden BERSIH Datuk Ambiga
Sreenevasan, bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan
pihak berkuasa.
Isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjadi
kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya
membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas.
Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut
meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian
berhubung hartanah berharga RM2.8 juta dibeli Guan Eng yang juga Ahli
Parlimen Bagan di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih
RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot
tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk
pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Guan Eng bertegas dan menafikan pembelian rumah tersebut yang berharga
RM2.8 juta itu mempunyai kaitan dengan penjualan tanah kerajaan di Taman
Manggis.
"Bagaimana mungkin wujud amalan rasuah jika syarikat tersebut memenangi
tender itu dengan merit mereka sendiri dan membayar harga paling tinggi?
"Selanjutnya, pemilik yang menjualkan kepada saya rumah tersebut tidak
pernah menjadi pemegang saham atau pengarah syarikat terbabit.
"Atas sebab ini, laporan rasuah terhadap saya kepada SPRM oleh BN dan
penyokongnya adalah palsu, dan merupakan konspirasi utnuk membunuh
karakter serta menghancurkaan saya secara politik," katanya lagi.
Malah beliau turut mengaitkan kes yang sama pernah berlaku terhadap
bekas menteri besar Kelantan, Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat
yang pernah disiasat atas dakwaan rasuah, namun tidak diminta untuk
'berehat'
"Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah disiasat SPRM
atas dakwaan rasuah berkait perbelanjaan mengerjakan haji ke Mekah pada
tahun 2009, yang arwah kemudiannya batalkan.
"Tiada siapa pun meminta Datuk Seri Nik Aziz bercuti kerana arwah tidak
mempunyai kawalan dan kuasa ke atas SPRM, dan dakwaan tersebut juga
tidak berasas," jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment