Friday, March 18, 2016

'Yang Tahu Masa Depan Hanya Tuhan', Hadi Bidas Kit Siang

KUALA LUMPUR : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyanggah kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menolak relevan kewujudan blok ketiga pembangkang hari ini.

"Yang tahu masa depan hanya Tuhan," ujarnya ringkas di sidang media di Hotel Puteri Park Kuala Lumpur.

Kit Siang pada hari ini mempersoalkan kewajaran gabungan dua parti politik itu.

Veteran DAP itu dipetik sebagai berkata "Adakah itu kuasa ketiga? Dalam politik, kosong campur kosong adalah tetap bersamaan dengan kosong. Anda boleh petik saya mengenainya".

Bukan itu sahaja, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menyifatkan blok politik ketiga itu tidak akan berjaya jika parti Islam tersebut tidak bersifat inklusif.

Malah ia disifatkan sebagai tidak bermakna jika gagal melaksanakan agenda perubahan dengan baik.

Terdahulu PAS mengumumkan pembentukan blok baru pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) sekaligus menjadi blok politik ketiga selepas Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh berbaki dua tahun lagi.

Dalam pada itu, IKATAN hari ini berkata belum masanya lagi untuk blok baru pembangkang tersebut melaksanakan hudud.

Presiden IKATAN, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil berkata demikian apabila diajukan kesediaan partinya menerima agenda hudud yang dibawa oleh PAS selama ini.

"Memanglah dalam Islam pun kita kena terima hudud. Itu tidak dapat elak. Tapi dalam Islam, ada dalam keadaan tertentu jika lebih elok kita tangguh sementara waktu, maka kita tangguhlah.

"Akhirnya rakyat yang akan menentukan untuk laksanakannya atau tidak. Kita serah kepada rakyat dan parlimen," katanya.

Hudud menjadi isu besar dalam Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga menyebabkan kerjasama DAP-PAS-PKR terkubur pada Julai 2015. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment