
Wednesday, April 13, 2016
Dr. P Ramasamy Di Lontar Bahan Letupan

BUTTERWORTH : Pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai
yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy
dekat sini dibaling dengan bahan letupan dipercayai molotov cocktail
awal pagi Selasa.
Kejadian itu menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran kecil di kaki
lima serta pintu gelangsar besi pusat khidmat itu yang terletak di
sebuah premis dua tingkat di Taman Chai Leng.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata
pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari seorang pekerja
pusat khidmat berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.
"Bahan (letupan) yang dibaling itu meletup di hadapan pusat khidmat itu.
Terdapat kesan jelaga hitam di kaki lima dan pintu besinya," katanya kepada media.
Beliau berkata pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar
tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan itu bagi mengesan pihak yang
terlibat dengan kejadian tersebut.
Rusli meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi
berhubung kejadian itu dan polis akan menjalankan siasatan secara
menyeluruh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu pengurus pusat khidmat tersebut R.Subramaniam, 60, berkata
beliau terdengar bunyi letupan sebelum ternampak api di bahagian pintu
masuk tingkat bawah pejabat berkenaan.
"Saya menghubungi rakan saya untuk beritahu kejadian itu dan dia membuat
laporan di Balai Polis Chai Leng Park. Kami turut memberitahu kejadian
itu kepada Ramasamy," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment