Wednesday, April 13, 2016

PAS Siap Sedia Bertanding Tiga Penjuru Di Sarawak

Atas kertas semua sudah set... gabungan pembangkang DAP, PKR dan Parti Amanah Nasional (PAN) mahu bertanding satu lawan satu dengan BN di 82 kerusi DUN Sarawak.

Namun wujud pertindihan dengan satu lagi parti pembangkang iaitu PAS yang sudah mengumumkan mahu bertanding di 11 kerusi.

Menurut Setiausaha PAS Sarawak, Muhtar Suhaili, parti itu sedia berhadapan pertembungan dengan parti komponen pakatan pembangkang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang.

Jelasnya, sehingga kini parti itu menjangkakan bakal berlaku perebutan di sekurang-kurangnya lima kerusi membabitkan PKR dan DAP.

"PAS sedar akan kemungkinan bakal berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan khususnya di kerusi yang ditandingi PKR pada pilihan raya yang lalu seperti Kakus, Jepak dan Lambir.

"Namun berdasarkan maklum balas akar umbi yang cukup positif, PAS terpaksa bertanding di kerusi-kerusi berkenaan," katanya dipetik dari media sebagai berkata.

Selain itu jelas Muhtar, walaupun PAS dan PKR sudah melakukan perbincangan berhubung isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak, namun ia menemui kegagalan.

"Sebelum PAS umumkan calon, kita ada bincang dengan PKR tapi ia gagal. Jadi kita terpaksa teruskan untuk bertanding walaupun bakal berlaku pertembungan. Namun kita tak bincang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

"Kita jangkakan DAP akan meletakkan calon di kerusi Pujut yang majoritinya adalah pengundi Cina dan di kerusi baharu iaitu Samalaju," katanya.

Ditanya sama ada PAS akan berkompromi dengan PKR, DAP dan Amanah pada saat-saat akhir bagi mengelak berlakunya pertindihan kerusi antara parti pembangkang, Muhtar bagaimanapun enggan membuat sebarang jangkaan awal.

"Tidak (kompromi). Tapi masih terlalu awal nak ulas. Anda perlu tunggu sehingga hari penamaan calon. Tarikh pilihan raya pun belum tahu lagi.

"Buat masa ini kami tetap akan bertanding di 11 kerusi berkenaan seperti yang diumumkan," katanya.

Pada 6 April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 11 kerusi iaitu Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Pada PRN Sarawak 2011, PAS bertanding di lima kawasan namun gagal memenangi sebarang kerusi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment