Wednesday, April 13, 2016
Isu Dr. Zakir Naik : Antara Hemah dan Bijaksana Penganjur Program
Malaysia adalah negara majmuk, dengan kepelbagaian etnik menjadi satu
kekuatan dan keajaiban betapa kemakmuran itu sangat “fragile”. Ia
memberi erti, sensitiviti agama dan budaya sangat tinggi, mendambakan
kefahaman dan tolak ansur yang tidak berbelah bahagi dalam mengekalkan
kemakmuran yang ada.
Hakikatnya, kita masih dibelenggu dengan sensitivi yang tinggi, dan
mungkin ada sesetengahnya melabelkan kita belum mencapai status
mentaliti “first class” dalam menangani isu-isu tertentu.
Kita semua pastinya adalah antara yang kagum dengan kebolehan Dr. Zakir Naik, yang
mempunyai kebijaksanaan dalam menjawab pelbagai persoalan yang
melibatkan perbandingan agama. Tidak hairanlah, jika beliau berupaya
membina benteng agama yang kuat di kalangan penggemar kuliahnya. Tidak
mustahil, beliau juga telah membuka hati bukan Islam, untuk memeluk
Islam. Maha Suci Allah, tuhan sekelian alam.
Walau bagaimanapun, kita boleh mendapati isu yang sedang berlegar adalah
berpunca dari tajuk ceramahnya. Mahu tidak mahu, itulah hakikat
penolakan yang kuat dari rakan-rakan beragama Hindu, yang merasakan
sensitiviti mereka seolah-olah dicabar.
Cuba fikirkan, jika agama lain juga tampil membuat program ceramah
sedemikian. Apakah umat Islam akan duduk diam dan membenarkannya?
Jika dialog, mungkin tiada masalah, kerana pastinya akan ada wakil dari
pihak satu lagi untuk berhujah. Jika dibandingkan antara ceramah dan
berdialog, pastinya berdialog akan dilihat lebih adil oleh pihak satu
lagi. Namun begitu, tiada jaminan bahawa program dialog akan tidak akan
mengundang kontroversi.
Tajuk ceramah yang ingin disampaikan itu tidak akan mengundang reaksi
negatif, jika ia dibuat secara tertutup. Namun, personaliti sehebat Dr.
Zakir Naik, ia agak mustahil untuk tidak mengambil peluang mewar-warkan
kehadirannya. Penulis percaya, isi kandungan ceramahnya tidak akan
menjadi isu, kerana beliau memang dikenali dalam hujah perbandingan
agama.
Apakah ini pertama kali Dr. Zakir Naik hadir ke Malaysia? Jawapannya
ialah tidak, kerana beliau sudah beberapa kali datang ke Malaysia.
Mengapa sebelum ini tidak pernah timbul sebarang isu? Sekali lagi, ingin
ditekankan, ia berpunca dari tajuk ceramah yang ingin
disampaikan.
Rasullullah SAW berpesan, agar umat Islam menggunapakai kaedah berhemah
dan bijaksana dalam berdakwah. Penganjur seharusnya meneliti tajuk-tajuk
yang sesuai, biarpun isi kandungan menyentuh tentang perbandingan
agama. Ini bertujuan untuk mengelakkan reaksi negatif dari penganut
agama lain. Apatah lagi di sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama
seperti Malaysia, tentu sahaja pesanan Baginda amat tepat untuk
diaplikasikan.
Untuk ceramah yang seterusnya, rasanya elok agar penganjur mencari tajuk
dan topik yang sesuai. Dan kita juga tidak bersetuju dengan sebarang
usaha untuk membatalkan segala program yang telah disusun. Bukan mudah
untuk mendapatkan seorang agamawan yang bijaksana hadir untuk memberi
ceramah.
Dr. Zakir Naik adalah tokoh Maal Hijrah. Maka, sesuaikanlah anugerah
yang diberi oleh kerajaan Malaysia dengan membenarkan beliau meneruskan
kerja-kerja dakwahnya di Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment