Wednesday, April 06, 2016

Isu Tanah : Guan Eng Perlu Henti Berdrama

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/03/lim-guan-engparlimen1.jpg
Lim Guan Eng dicabar menafikan kewujudan dokumen perjanjian jual beli (S&P) jika benar Ketua Menteri Pulau Pinang itu yakin tanah yang mencetuskan kontroversi di Taman Manggis tidak dijual kepada pihak ketiga.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Guan Eng perlu segera berhenti daripada berdrama dengan tampil memberi jawapan meyakinkan termasuklah menafikan S&P yang sudah dicop itu.

Sambil menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai seorang yang gemar memberi jawapan berasaskan spekulasi, beliau berkata, adalah sesuatu yang cukup pelik bagaimana Guan Eng tidak mengetahui mengenai penjualan tersebut.

“Saya hendak Guan Eng meni­dakkan atau memberitahu S&P itu tidak wujud. Soal sama ada sudah berlaku pertukaran iaitu dijual kepada pihak ketiga atau soal pembayaran RM70.6 juta sudah dibuat bukan masalah saya, kerana faktanya perjanjian sudah ditandatangani dan dicop.

“Janganlah beliau tanya saya (dakwaan Guan Eng kononnya beliau tidak faham dengan pendedahan Abdul Rahman). Beliau Ketua Menteri, sepatutnya beliau lebih tahu,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Semalam Abdul Rahman mendedahkan tanah di Taman Manggis yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah mampu milik tetapi dijual kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kini dijual pula kepada pihak ketiga.

Beliau yang juga Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, perjanjian itu melibatkan penjualan saham syarikat majoriti milik ahli perniagaan, Datuk Tang Yong Chew dan isteri termasuk KLIDC dengan harga RM18,643,628 dan Victoria International Medical Centre Bhd. (RM52 juta).

Bagaimanapun Guan Eng dalam reaksi segeranya menafikan penjualan kepada pihak ketiga itu dengan memberi alasan kerajaan negeri tidak menerima apa-apa surat serah tanah kepada syarikat lain serta semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih menunjukkan pemegang saham adalah sama.

Menjawab penafian Guan Eng itu, Abdul Rahman berkata, semakan di SSM tidak seharusnya dijadikan alasan kerana sememangnya pertukaran saham melibatkan sesebuah syarikat akan mengambil masa yang agak lama sebelum dipaparkan oleh SSM.

“Saya nak ingatkan bahawa kemaskini dalam SSM tidak akan berlaku apabila hari ini saham bertukar tangan, esok terus dikemas kini. Ramai yang sedia maklum mengenainya (tetapi) pemegang saham lama yang terpapar di SSM tidak bermakna tidak berlaku penjualan saham,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman meminta Guan Eng berhenti daripada berdolak-dalik dalam isu pembelian rumah banglo dan kontroversi tanah di Taman Manggis kerana selaku Menteri Besar, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu berhutang kepada rakyat Pulau Pinang.

Tambahnya, jika beliau boleh tampil secara terbuka untuk mendedahkan kontroversi di sebalik isu berkenaan, mengapa Guan Eng tidak sanggup untuk berbuat perkara yang sama, jika benar Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjunjung aspek ketelusan.

“Masalahnya dengan Guan Eng ini (suka sangat kepada) idea lawak dan ‘romantik’ dengan mengajak ahli Parlimen atau menteri minum kopi bersama. Dia berhutang kepada penduduk Pulau Pinang (jadi) dia perlu dedahkan kepada umum, bukannya dalam sebuah bilik untuk minum kopi,” katanya sinis.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment