Wednesday, April 13, 2016

Karnival Sukan UMNO : Hampir 2,000 Atlet Dan Pegawai Bakal Berkampung Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR : Hampir 2,000 atlet dan pegawai sukan daripada UMNO seluruh negara akan berkampung di Kuala Lumpur pada karnival sukan sempena ulangtahun UMNO ke-70 yang akan diadakan pada 13 hingga 14 April ini.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Sahfri Abd Aziz berkata rata-rata acara sukan yang dipertandingkan di peringkat bahagian hampir selesai dan peringkat seterusnya adalah di peringkat UMNO negeri.

Menurut beliau segala perjalanan sukan berjalan lancar dan semua negeri mesti menyelesaikan acara sukan sebelum 4 April ini kerana selepas itu terdapat acara lain iaitu larian bendera di seluruh negara.
Logo UMNO dan Malaysia 
“Mereka yang terpilih untuk mewakili UMNO negeri akan berkampung di Kuala Lumpur sebagai ‘venue‘ terakhir untuk pertandingan sukan UMNO Malaysia. Beberapa tempat kita telah kenalpasti yang akan menjadi gelanggang untuk acara-acara sukan seperti bola sepak, badminton dan sebagainya. Antara gelanggang terbabit termasuklah kompleks Sukan Kg Pandan, Sports Planet Ampang dan beberapa gelanggang lain.

“Insya Allah kita berharap segalanya berjalan lancar dan seluruh pemain daripada negeri yang akan terpilih untuk mewakili UMNO negeri masing-masing dalam acara sukan yang dipertandingkan dapat bermain hingga akhir perlawanan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Tambah beliau acara sukan berkenaan bukanlah untuk perlawanan semata-mata tetapi ianya mempunyai simbolik dan matlamat yang tersendiri khususnya dalam menyambut ulang tahun UMNO ke-70.

Katanya lagi sebagai pengendali acara sukan berkenaan, sudah pasti apa yang diharapkan adalah semangat ukhuwwah di semua peringkat ahli dan kepimpinan parti terus kukuh menerusi karnival sukan tersebut.

“Penglibatan secara menyeluruh dan komitmen daripada semua pihak dalam menjayakan karnival sukan ini bukan sahaja amat penting untuk Pemuda UMNO semata-mata namun ianya adalah untuk seluruh ahli parti.

“Bayangkan kita bermula di peringkat cawangan dan kemudiannya ke peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat negeri dan terakhir di Kuala Lumpur yang akan menghimpun hampir 2,000 atlet termasuk pegawai sukan yang terlibat.

“Perpaduan yang dipupuk menerusi acara sukan ini diharap dapat membantu mengukuhkan lagi parti dan pelbagai acara menarik lain akan turut dilaksanakan pada hari kemuncak sambutan ulangtahun UMNO ke-70 khususnya acara larian bendera,“ katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment