
Wednesday, April 06, 2016
Lebuhraya Bayan Lepas Dibuka Hari Ini

GEORGE TOWN : Laluan bertingkat Lebuhraya Bayan Lepas (BLE)
dibuka kepada pengguna hari ini yang dapat mengurangkan kesesakan lalu
lintas antara Batu Maung dan Sungai Nibong.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembukaan
struktur bertingkat empat lorong berkembar bernilai RM337 juta itu
menepati jadual dan merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian
trafik di kawasan berkenaan.
“Pembinaan BLE yang bermula pada 1 April 2014 kini 99 peratus siap
dengan baki satu peratus membabitkan beberapa kerja kecil bagi laluan
basikal dan kerja landskap,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan
lawatan kerja prapembukaan projek menaik taraf BLE dari Batu Maung ke
Sungai Nibong hari ini.
Beliau berkata BLE terbahagi kepada dua komponen iaitu struktur
bertingkat (atas) berukuran 3.2 kilometer manakala laluan searas (bawah)
sepanjang 4.2 kilometer.
Katanya lebuh raya itu mampu menampung jumlah trafik harian sehingga
70,000 kenderaan pada tahap perkhidmatan (LOS-Level of Service) A di
laluan bertingkat dan LOS C di laluan searas.
“Bagi tahap LOS A, setiap lorong terdapat tujuh kenderaan per
kilometer, manakala bagi LOS C, 11 hingga 16 kenderaan per kilometer,”
kata Fadillah.
Menurut beliau, sepanjang laluan itu terdapat tiga persimpangan iaitu
Hilir Sungai Kluang, Lebuhraya Kampung Jawa dan Jalan Kampung Jawa.
Katanya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, laluan
BLE dilengkapi dengan lampu jalan LED, sistem saliran, laluan basikal,
jejambat basikal dan pembahagi jalan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya belum menerima
sebarang makluman mengenai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP)
Pulau Pinang daripada kerajaan negeri.
“Setakat ini kita tidak diminta pandangan mengenai perkara ini.
Tetapi jika mereka perlukan bantuan daripada kita dari segi teknikal
atau rundingan, kerajaan persekutuan yang prihatin sanggup memberi
sebarang bantuan yang diperlukan,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini kerajaan negeri telah melantik SRS Konsortium
iaitu usaha sama antara Gamuda, Ideal Property Development Sdn Bhd dan
Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd, sebagai Rakan Pelaksana Projek bagi
projek PIP itu.
Projek PIP yang menelan kos RM27 bilion antaranya membabitkan
pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer, tiga lebuh raya
dan Penang Sky Cab.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment