
Wednesday, April 06, 2016
Pakatan Harapan Lemah Di Sarawak – Penganalisis

KUCHING : Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR
dan Parti Amanah Negara dilihat lemah dan tidak mempunyai kerjasama kuat
yang boleh menggugat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sarawak ke-11 akan datang, kata penganalisis politik.
Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS)
Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Faisal S. Hazis berkata ini
disebabkan sehingga kini belum ada konsensus rasmi yang dicapai oleh
ketiga-tiga parti dalam komponen pakatan itu menjelang PRN.
“Ketika era Pakatan Rakyat dahulu pun ketiga-tiga parti (termasuk
PAS) sukar untuk menawan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Sarawak tapi
kalau dah tiada persefahaman dan kini tubuh pula pakatan baharu makin
susah mereka untuk menang,” katanya kepada media di sini.
Beliau berkata keadaan Pakatan Harapan bertambah rumit apabila PAS
yang sudah terkeluar daripada blok pembangkang itu turut akan bertanding
bagi beberapa kerusi yang akhirnya mewujudkan persaingan tiga penjuru
atau lebih.
Justeru, Faisal berkata BN tidak perlu bimbang kerana sekiranya
keadaan ini berterusan, maka agak sukar untuk Pakatan Harapan, termasuk
PAS, menawan kerusi DUN yang memang dikuasai sekian lama oleh BN.
Senada dengannya, Pensyarah Kanan Sejarah China Moden dan Sejarah
Malaysia (Sarawak) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Suffian Mansor
menyifatkan mustahil untuk blok pembangkang menawan hati pengundi
Sarawak dengan menggunakan isu dari Semenanjung mahupun isu berkaitan
tempatan.
“Mereka tidak faham situasi dan politik di sini. Jadi agak sukar dan
mustahil bagi PKR dan PAS untuk memenangi kerusi kali ini. Memang tiada
harapan.
“Kecuali DAP. Itu pun jika tidak berlaku perebutan kawasan dengan PKR,” katanya.
Beliau menjelaskan faktor lain yang mungkin memberi sedikit peluang
dan ruang kepada pembangkang adalah berlakunya ketidakpuasanhati calon,
atau kerusi di kalangan komponen BN yang kerap berlaku dalam mana-mana
pilihan raya.
Menurutnya, jika isu tersebut tidak ditandingi dengan baik dan cepat,
kedudukan dan kekuatan BN mungkin tergugat sekaligus merencatkan
kemenangan bersih mereka.
Sebelum ini, komponen Pakatan Harapan Sarawak terdiri daripada DAP
mengumumkan akan bertanding bagi 30 kerusi, manakala Amanah 13 kerusi,
dan PKR pula dijangka bertanding bagi 40 kerusi DUN namun masih belum
membuat sebarang pengumuman rasmi.
PAS yang tidak termasuk dalam Pakatan Harapan pula turut mengumumkan
akan bertanding bagi 11 kerusi DUN pada PRN ini, yang menyaksikan
sebanyak 11 kerusi DUN baharu diperkenal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) pada tahun lepas, menjadikan kesemuanya 82 kerusi.
Pada pilihan raya negeri 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi
dalam DUN Sarawak manakala DAP memenangi 12 kerusi (Padungan, Pending,
Kota Sentosa, Batu Kawa, Jepok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan,
Kidurong, Piasau, dan Pujut, yang wakil rakyatnya dipecat daripada
parti pada 2013), PKR (Batu Lintang, Krian dan Ba’Kelalan) dan satu
kerusi disandang wakil bebas (Pelagus).
Sementara itu Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar ketika ditemui Bernama menasihatkan parti luar yang asing
dengan budaya Sarawak supaya tidak terlalu yakin untuk bertanding dalam
PRN kali ini.
Wan Junaidi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata
masyarakat di Sarawak tidak memerlukan pengaruh asing dari luar yang
cuba memainkan sentimen benci dan perpecahan di kalangan kaum di negeri
ini hanya atas dasar mahu memenangi PRN.
“Perjuangan mereka bukan mirip bantu Bumiputera atau demokrasi.
Politik yang dibawa mereka telah mula berubah kepada lebih agresif, maki
hamun dan ada unsure pemusnahan karakter,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment