
Wednesday, April 06, 2016
Najib Akan Kemuka Surat Tuntutan Mohon Maaf Kepada Rafizi Berhubung Kenyataan Beli Kain

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan
surat tuntutan kepada Mohd Rafizi Ramli supaya memohon maaf dan menarik
balik kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan wang
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung pembelian kain di sebuah
gedung tekstil terkemuka di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada
pemberita selepas pengurusan kes saman fitnah membabitkan Najib dan
bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dalam kamar Hakim Mahkamah
Tinggi Datuk John Louis O’Hara, Rabu.
Mohd Hafarizam berkata, beliau mendapat arahan daripada perdana
menteri semalam untuk menyiapkan dan menyerahkan surat tuntutan kepada
Naib Presiden PKR itu secepat mungkin.
Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa mengeluarkan
kenyataan itu ketika perhimpunan mansuh GST di Dataran Merdeka, 2 April
lepas.
Sementara
itu, Mohd Hafarizam berkata kes saman Najib terhadap Dr Ling akan
didengar di hadapan hakim lain berikutan O’Hara hari ini menarik diri
daripada mendengar kes saman berkenaan.
Katanya, hakim itu menarik diri untuk mengelakkan salah tanggapan
masyarakat kerana beliau dan Dr Ling merupakan alumni Maktab Tentera
Diraja iaitu Persatuan Bekas Putera.
Peguam itu berkata keputusan O’Hara itu tidak dibantah oleh pihaknya dan juga peguam Villie Nethi, mewakili Dr Ling.
“Kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Nor Bee Ariffin tetapi masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk
sebutan kes itu,” kata Mohd Hafarizam.
Najib memfailkan saman terhadap Dr Ling atas dakwaan mengeluarkan
kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu
artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober tahun lepas.
Pada 27 Oktober tahun lepas, Najib menyaman Dr Ling selaku defendan,
antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu
menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal
pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.
Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau
melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau
menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan
berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk
dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh
mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara
palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah
terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di
sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita
pada 3 Oktober 2015.
Katanya, perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau
(Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk
kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah
syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta
tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri
Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment