
Wednesday, April 13, 2016
Operasi ‘Ketuk Pintu’ Buru Pengelak Cukai

Sebilangan daripada 98,615 syarikat dan 1.7 juta
individu yang dikesan melanggar undang-undang percukaian melalui audit
cukai tahun 2014 kendalian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang dan
akan ‘diketuk pintu’ bagi melunaskan bayaran cukai yang tertunggak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk
Sabin Samitah berkata, hasil kutipan audit tersebut termasuk denda serta
penalti dijangka mencecah RM4.47 bilion.
“Kita memilih syarikat dan individu yang terlibat ini melalui
analisis risiko dan juga daripada maklumat yang diterima daripada pihak
ketiga.
“Ada antara syarikat dan individu yang diaudit ini lari cukai dan
tidak melaporkan pendapatan dengan telus tetapi bukan semua. Apabila
kita dapat kenal pasti, mereka perlu membayar penalti tiga kali ganda
daripada cukai tertunggak,” katanya dalam sidang akhbar Operasi
Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional 2016 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Cawangan Pembayar Cukai Besar LHDN, Puteh
Mariah Harun dan Pengarah Jabatan Perisikan Dan Profiling LHDN, Hajam
Lajah Alam.
Sementara itu, Sabin berkata, sebanyak 25 hingga 30 peratus syarikat
yang menghantar borang nyata cukai pendapatan tidak mengembalikan borang
tersebut semula kepada LHDN sepanjang tahun 2012 hingga 2015.
“Sebanyak 25 hingga 30 peratus ini adalah syarikat yang memulangkan
borang di luar tempoh yang ditetapkan dan langsung tidak
memulangkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, kejatuhan harga minyak dunia di bawah
paras AS$40 (RM160) setong akan menjejaskan sasaran kutipan cukai iaitu
sebanyak RM124 bilion.
“Setakat ini LHDN berada di landasan tepat untuk mengutip sasaran kutipan cukai yang ditetapkan untuk tahun ini.
“Kita hanya berharap harga minyak akan menjadi lebih stabil kerana
kejatuhan harga di bawah AS$40 atau AS$30 setong akan menyukarkan
kutipan cukai,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment