Wednesday, April 06, 2016

PRN Sarawak : Adenan Umum 10 Calon SUPP, Baki Terus Jadi Tanda Tanya

http://newsdata2.bernama.com/bernama/newspic/pb/adenan%20satem3.jpg
KUCHING : Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan 10 calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-11 ini atas tiket Barisan Nasional (BN).

Sepuluh calon itu ialah Peter Pau (Padungan); Milton Foo Tiang Wee (Pending); Sih Hua Tong (Batu Lintang); Wilfred Yap Yau Shin (Kota Sentosa); Lo Khere Chiang (Batu Kitang); Datuk Dr Sim Khui Hian, (Batu Kawa); Datuk Francis Harden (Simanggang); Chieng Buong Toon (Bukit Assek); Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (Piasau); dan penyandang kerusi Senadin Datuk Lee Kim Shin.

Bagaimanapun Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata senarai calon SUPP yang diumumkan ini belum lagi lengkap.

“Saya akan umumkan calon lain dari semasa ke semasa. Semuanya akan selesai sehari sebelum penamaan calon,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

SUPP yang tewas di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 19 kawasan yang ditandinginya pada PRN lepas, kini menjadi tumpuan ramai untuk melihat bagaimana Adenan membahagikan kerusi majoriti kaum Cina pada PRN ini antara SUPP dan parti serpihannya yang ‘mesra BN’, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Kerusi DUN yang ditandingi SUPP dalam PRN sebelum ini yang masih belum diumumkan calonnya oleh Adenan ialah Opar, Engkilili, Bawang Assan, Dudong, Pelawan, Pujut, Meradong, Repok dan Kidurong.

Adenan berkata beliau akan mengumumkan calon bagi DUN Repok minggu ini.

Semalam, Adenan mengumumkan bahawa Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil daripada UPP akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Mambong yang sebelum ini dikenali dengan nama Bengoh, sebagai calon langsung BN.

Sebelum ini Adenan juga dilaporkan berkata bahawa calon langsung BN turut akan bertanding di DUN Bawang Assan dan Dudong.

Ditanya sama ada kerusi SUPP yang belum diumumkan itu akan ditandingi oleh UPP, Adenan berkata: “Kamu boleh andaikan apa yang kamu suka tetapi tunggulah sehingga hari saya mengumumkannya”.

Apabila ditanya tentang SUPP dan UPP yang kini ‘berebut kerusi’, Adenan berkata persetujuan kini ‘hampir tercapai’.

“Kesepakatan akan dicapai seminggu sebelum penamaan calon. Kamu (wartawan) tidak perlu risau. Biar saya cari penyelesaiannya,” katanya.

Adenan berkata pengumuman calon secara berperingkat dibuat berikutan ‘perbuatan melobi yang sengit’ kerana mahu menggunakan simbol BN untuk bertanding.

“Simbol BN sangat popular. Saya tidak mendengar orang berebut untuk menggunakan simbol lain, termasuk pembangkang. Mereka tahu mereka mempunyai peluang yang baik untuk menang dengan menggunakan simbol BN. Sebab itulah mereka bermati-matian mahu menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, Adenan berkata populariti bakal calon merupakan antara faktor terakhir diambil kira selain lulus tapisan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

BN Sarawak akan bertanding dalam 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Ke-11 dan sehingga kini, Adenan mengumumkan hampir kesemua 40 calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang bakal bertanding dalam pilihan raya itu dan hanya tinggal beberapa kerusi sahaja yang belum dimuktamadkan.

Beliau sebelum ini turut mengumumkan 11 calon PRS, termasuk dua bagi kerusi baharu, yang akan bertanding pada PRN ini.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment