
Wednesday, April 13, 2016
PRN Sarawak : Bekas Mufti Perlis Antara Muka Baru BN

PRN Sarawak : Bekas Mufti, Bekas Senator Antara Muka Baharu BN
Bekas Mufti, bekas senator, Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu
Sarawak dan pembantu khas timbalan menteri adalah antara sembilan muka
baharu, daripada 11 calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya
Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Tan
Sri Adenan Satem di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, 44, yang akan bertanding di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menyifatkan pengumuman
sebagai calon itu merupakan satu cabaran baharu yang perlu dipelajari.
“Saya sudah terlibat dalam pentadbiran agama Islam dan bidang
kekeluargaan lebih 20 tahun. Pelantikan (sebagai calon) ini merupakan
ilmu baharu bagi saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
pengumuman itu.
“Peranan kita di Sarawak yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa,
ini adalah perkara yang mencabar dalam menentukan hala tuju negeri ini.
Saya berharap saya dapat memainkan peranan dalam hal ini,” tambahnya.
Sementara itu, Datuk Idris Buang, 62, yang dicalonkan untuk
bertanding di DUN Muara Tuang berkata beliau akan bekerjasama dengan
semua pihak bagi merencanakan yang terbaik berpandukan kepimpinan parti
dan negeri.
“Saya akan kaji kehendak pengundi di Muara Tuang khususnya golongan
belia dan wanita. Kita akan bawa lebih banyak pembangunan dan buat yang
terbaik,” kata peguam dan juga bekas senator itu.
Turut akan bertanding adalah Jefferson Jamit Unyat, 58, cucu kepada
mendiang Tun Jugah, seorang pemimpin Dayak yang berkhidmat sebagai
menteri persekutuan dalam hal ehwal Sarawak semasa zaman Tunku Abdul
Rahman.
“Saya amat yakin untuk menang kerana saya sudah berkhidmat di kawasan
itu sangat lama. Saya mempunyai ramai saudara-mara di sana. Saya juga
mendapat sokongan daripada semua parti komponen BN,” katanya yang akan
bertanding di Bukit Goram.
Bagi calon langsung BN DUN Serembu, Miro Simuh, 43, pembantu khas
kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri James
Dawos Mamit berkata beliau mahu menaik taraf kehidupan dan pendapatan
penduduk tempatan melalui lebih banyak program ekonomi.
Calon langsung BN DUN Bukit Semuja, John Ilus, 52, pula berjanji akan
meneruskan pembangunan yang sudah dirancang di kawasan itu jika menang
dalam pilihan raya.
“Memandangkan Bukit Semuja terletak di Serian yang sudah dinaik taraf
menjadi sebuah Bahagian sejak tahun lepas, pelbagai projek pembanguan
yang dirancang akan diteruskan,” kata pegawai kanan tadbir Pejabat
Daerah Serian itu.
Gerawat Jala, 59, calon langsung DUN Mulu, berterima kasih kepada Adenan atas kepercayaannya untuk bertanding.
“Saya akan bekerja keras untuk menyerahkan kerusi itu kepada BN,”
kata peguam yang merupakan Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu
Sarawak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment